Wednesday, 6 July 2022

SIRI 408 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 8: Adab-Adab Makan, Berkumpul, Menghadap Hidangan Dan Bertemu

Tajuk Mudarasah: Adab-Adab Sebelum Makan

Halaman Rujukan Kitab : 109

Nota Mudarasah:

Adab-adab makan merangkumi adab sebelum makan, ketika makan dan selepas makan.

Adab-adab Sebelum Makan

i. Membasuh kedua tangan sebagaimana disebutkan dalam hadis¹⁶⁴ kerana tangan tidak terlepas daripada kekotoran.
164 Dalam kitab Takhrij al-Ihya' (2/3), al-Hafiz al-'Iraqi telah memutuskan bahawa semua hadis yang menyebut mengenainya adalah daif.

ii. Meletakkan makanan di atas kain hamparan (safrah) yang dihampar di atas lantai. Ia lebih dekat dengan perbuatan Rasulullah s.a.w. berbanding di atas meja makan¹⁶⁵. Ia juga lebih dekat kepada sifat tawaduk.
165 Lihat kitab Mukhtasar as-Syamail Muhammadiyyah lit-Tirmizi, karangan Syeikh al-Albani.

iii. Duduk di atas kain hamparan dalam keadaan menegakkan kaki kanannya dan duduk di atas kaki kirinya.

iv. Makan dengan niat supaya menjadi kuat dan bertenaga untuk mentaati Allah Taala dan bukan dengan tujuan mengecapi nikmat semata-mata. Tanda niat tersebut betul ialah apabila dia makan sekadar yang diperlukan sahaja bukan sehingga kenyang. Nabi s.a.w bersabda:

مَا مَلأَ آدَمِيٌّ وِعَاءَ شَرًّا مِنْ بَطْنٍ حَسْبُ الآدَمِيِّ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَّعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَّرَابِهِ وِثُلُثٌ لِنَّفَسِهِ
Seburuk-buruk bekas yang dipenuhkan oleh anak Adam ialah perutnya. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang boleh menegakkan tulang belakangnya. Sekiranya tidak mungkin, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk nafasnya.¹⁶⁶
166 Riwayat at-Tirmizi (2381), Ahmad (4/132), Ibnu Majah (3349), al-Baghawi (4048), Ibnu Hibban (1349:al-Mawarid), Ibnu al-Mubarak dalam az-Zuhd (603), at-Tobrani dalam kitab al-Kabir (20/272-273) dan al-Hakim (4/121) dengan sanad yang sahih.

Bukti adanya niat seumpama itu ialah dia tidak menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan melainkan ketika lapar sahaja dan dia akan berhenti makan sebelum kenyang. Sesiapa yang berbuat demikian, dia hampir-hampir tidak memerlukan doktor lagi (jauh dari penyakit). Di samping itu dia hendaklah reda dengan rezeki yang ada dan tidak menghina rezeki yang sedikit serta berusaha bersungguh-sungguh untuk makan beramai-ramai walaupun bersama keluarga dan anaknya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment