Tuesday, 19 July 2022

SIRI 419 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 9: Perkahwinan: Adab-Adab Dan Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Tanggungjawab Suami Isteri
Sub Tajuk Mudarasah: Tanggungjawab Suami

Halaman Rujukan Kitab : 122

Nota Mudarasah:

v. Sederhana dalam cemburu iaitu tidak sampai mengabaikan perkara-perkara prinsip dan tidak pula berlebih-lebihan sehingga berburuk sangka. Sesungguhnya Nabi s.a.w telah melarang seorang suami pulang secara mengejut pada waktu malam tanpa memaklumkan kepada isterinya terlebih dahulu.¹⁸¹
181 Riwayat al-Bukhari (9/296), Muslim (715), Abu Daud (2776) dan at-Tirmizi (1172) daripada Jabir r.a..

vi. Bersederhana dalam memberi nafkah. Tidak terlalu boros dan tidak pula terlalu kedekut. Seseorang suami tidak seharusnya mementingkan dirinya sendiri ketika menikmati makanan yang baik dan enak tanpa mengajak ahli keluarganya menikmatinya bersama. Ini kerana ia boleh menyakiti hati mereka.

vii. Seorang suami hendaklah mempelajari hukum-hakam yang berkait dengan masalah haid. Melalui ilmu tersebut dia mengetahui bagaimana bentuk pergaulan dengan isteri yang berada dalam keadaan haid. Suami juga bertanggungjawab mengajar akidah yang betul kepada isterinya dan menghilangkan sebarang bentuk bid'ah dari bersarang di lubuk hatinya. Begitu juga hukum-hakam berkenaan dengan sembahyang, haid dan istihadhah. Contohnya: masalah jika darah haid perempuan berhenti sebelum masuk waktu Maghrib sekadar tempoh satu rakaat, dia hendaklah mengqadakan sembahyang Asar dan juga Zohor. Begitu juga jika haidnya berhenti sekadar tempoh satu rakaat sebelum Subuh, dia hendaklah mengqadakan sembahyang Isya' dan Maghrib. Kebanyakan wanita tidak mengambil berat dalam hal ini.¹⁸²
182 Terdapat perbincangan terperinci di kalangan ulamak mengenainya. Sila rujuk kitab-kitab fekah.

viii. Apabila seorang suami mempunyai beberapa orang isteri, dia hendaklah berlaku adil antara mereka. Adil dalam giliran bermalam dan pemberian nafkah. Bukannya dalam masalah kasih sayang dan persetubuhan. Ini kerana perkara tersebut adalah diluar kawalan dan kemampuannya. Sekiranya mahu membawa salah seorang daripada mereka untuk menemaninya ketika musafir, dia hendaklah membuat undian. Sesiapa yang memenangi undian tersebut, dialah yang akan menemaninya.

ix. Nusyuz. Sekiranya isteri nusyuz, suami hendaklah mem bimbing, mengajar serta memaksanya supaya taat. Walau bagaimanapun, ia hendaklah dilakukan secara peringkat-peringkat, didahului dengan nasihat dan amaran. Sekira nya tidak berubah, dia boleh memulaunya dari tempat tidur dengan cara membelakangkan isterinya ketika tidur atau tidur di tempat berasingan. Begitu juga memulaunya daripada bercakap dalam tempoh kurang daripada tiga hari. Sekiranya tidak berkesan, dia hendaklah memukulnya dengan pukulan yang tidak melukakan. Iaitu jangan menyebabkan badannya berdarah atau memukul mukanya..

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment