Wednesday, 20 July 2022

SIRI 420 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 9: Perkahwinan: Adab-Adab Dan Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Tanggungjawab Suami Isteri
Sub Tajuk Mudarasah: Tanggungjawab Suami

Halaman Rujukan Kitab : 124

Nota Mudarasah:

Adab-adab ketika jimak. Sunat memulakannya dengan membaca bismillah dan berpaling dari arah kiblat. Dia hendaklah menutup diri dan isterinya dengan selimut agar tidak berjimak dalam keadaan bertelanjang. Dimulakan dengan senda gurauan, pelukan dan ciuman. Sebahagian ulamak menggalakkannya pada hari Jumaat. Apabila suami telah merasa puas, dia hendaklah menunggu sehingga isterinya juga merasa puas kerana kepuasan si isteri mungkin sedikit terlewat.

Seseorang isteri yang berada dalam keadaan haid hendaklah memakai kain sarung yang menutupi antara dua punggung sehingga kedua lututnya ketika suami mahu berseronok dengannya. Suami tidak harus menyetubuhi isterinya dalam keadaan haid ataupun pada duburnya. Sesiapa yang mahu menyetubuhi isterinya buat kali kedua, dia hendaklah membasuh kemaluannya terlebih dahulu dan berwuduk.

Antara adab ketika berjunub ialah tidak mencukur rambut atau bulu dan tidak memotong kukunya serta mengeluarkan darah. Manakala al-azl iaitu memancutkan mani di luar rahim (tidak ke dalam rahim isteri) adalah perkara harus yang makruh. xi. Adab-adab bersalin. Terdapat enam perkara iaitu:

a) Tidak terlalu bergembira mendapat anak lelaki dan bersedih jika mendapat anak perempuan. Ini kerana dia tidak tahu mana satukah yang lebih baik kepadanya.

b) Melaungkan azan pada telinga anak setelah dilahirkan.¹⁸³
183 Sunat melaungkan azan pada telinga kanan anak yang baru dilahirkan dan iqamah pada telinga kirinya sama ada anak tersebut lelaki atau perempuan. Lihat Bujairimi 'alal Khatib, oleh Syeikh Sulaiman al-Khatib, juzuk 4.Cetakan Darul Makrifah, 1398H-pent.

c) Menamakannya dengan nama yang baik. Dalam hadis riwayat Muslim ada menyebut:
إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللهِ عَبْدُ اللهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
Sesungguhnya nama yang paling dikasihi dan disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman.¹⁸⁴
184 Riwayat Muslim (2132), at-Tirmizi (2835) dan Abu Daud (4949) daripada Ibnu Umar r.a..

Sesiapa yang mempunyai nama yang tidak baik, dia digalakkan menukarkannya. Sesungguhnya Nabi saw. telah menukar banyak nama para sahabat.¹⁸⁵
185 Lahat kitab-Jami'ul Usul (1/371). Fasal Ketiga: Orang yang Nabi saw. pernah tukarkan namanya.

Makruh meletakkan nama Aflah, Nafi', Yasar, Rabah dan Barakah¹⁸⁶. Ini kerana bimbang akan dipermainkan dengan kata-kata: Adakah benar dia begitu? Lalu dijawab: Tidak pun!.¹⁸⁷
186 Nama-nama tersebut bermakna yang berjaya, yang memberi manfaat, yang mudah atau yang kaya, yang banyak beruntung dan berkat-pent.
187 Riwayat Muslim (2138) dan Abu Daud (4960) daripada Samurah bin Jundub r.a..

d) Melakukan akikah dengan menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan.

e) Mentahnikkannya (belah mulut) dengan sebiji tamar atau manisan.

f) Berkhatan,¹⁸⁸
188 Lihat kesemua yang disebutkan di atas secara lebih terperinci dalam kitab Tuhfah al-Maudud karangan Ibnu Qayyim r.hm..

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment