Sunday, 24 July 2022

SIRI 424 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 10: Adab-Adab Dalam Kerja Dan Hidup: Kelbihan Dan Cara Muamalah Yang Betul Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Dorongan Supaya Bekerja Dan Kelebihannya

Halaman Rujukan Kitab : 131

Nota Mudarasah:

Diriwayatkan dalam athar bahawa Lukman al-Hakim telah berkata kepada anaknya: Wahai anakku, bantulah dirimu dengan bekerja mencari rezeki yang halal. Sesungguhnya apabila seseorang itu bergantung atau berhajat kepada orang lain, dia akan ditimpa dengan tiga perkara; iaitu tipis agamanya, lemah akalnya dan hilang maruah dirinya. Lebih besar lagi apabila manusia memandang hina kepadanya.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya pandangannya berhubung dengan seorang lelaki yang duduk di rumah atau masjid dan berkata: Aku tidak perlu melakukan apa-apa kerana rezekiku akan datang kepadaku juga. Imam Ahmad berkata: Lelaki ini adalah seorang jahil. Apakah dia tidak mendengar sabda Nabi s.a.w..
إن الله جعل رزقي تحت ظل رمحي
Sesungguhnya Allah menjadikan rezekiku di bawah naungan tombakku.¹⁹⁷
197 Hadis riwayat Ahmad (2/50,92) dan at-Tohawi dalam kitab Musykal al-Athar (1/88) daripada Ibnu Umar r.a.. Guru kami al-Albani telah mengesahkannya dalam kitab al-Irwa' (1269).

Juga sabda baginda ketika menyebut tentang keadaan burung:
تغدو خماصا وتروح بطاناً
Keluar waktu pagi dalam keadaan perut kosong dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.¹⁹⁸
198 Hadis riwayat Ahmad (1/30), at-Tirmizi (2345) dan al-Hakim (4/318) daripada Umar r.a. dan sanadnya sahih.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. berniaga di daratan, lautan dan bekerja di ladang-ladang kurma mereka. Sewajarnyalah kita mencontohi mereka.

Abu Sulaiman ad-Darani berkata: Pada pandangan kami, ibadat bukannya dengan membetulkan kedua kaki kamu (bersembahyang) dalam keadaan orang lain letih kerana melayani keperluan kamu, tetapi mulakanlah beribadat dengan membuat roti untuk makanan kamu dan kemudian beribadatlah. Sekiranya ada yang berkata: Bukankah Abu Darda' pernah berkata: Aku telah mengusahakan perniagaan dan diwaktu yang sama mahu beribadah tetapi aku tidak mampu melakukannya serentak, lalu aku memilih untuk beribadah, Jawabnya: Kami (yang menyarankan supaya berniaga) bukanlah dengan maksud semata-mata berniaga (mendapatkan keuntungan dan menimbunkannya) tetapi ia bertujuan menjadikannya tidak berhajat dan meminta dari orang lain serta mencukupi keperluan keluarganya dan membelanjakan yang lebih darinya kepada saudara-saudaranya lain. Sekiranya maksud perniagaan itu untuk mengumpulkan harta dan bermegah-megah dengannya, ia adalah suatu yang tercela.

Hendaklah usaha atau kerja kamu itu merangkumi empat perkara iaitu dilakukan secara sah, adil, ihsan dan mengambil berat terhadap agama.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment