Saturday, 23 July 2022

SIRI 423 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 10: Adab-Adab Dalam Kerja Dan Hidup: Kelbihan Dan Cara Muamalah Yang Betul Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Dorongan Supaya Bekerja Dan Kelebihannya

Halaman Rujukan Kitab : 129

Nota Mudarasah:

Allah Taala dengan hikmah-Nya yang tersembunyi telah menjadikan dunia ini sebagai tempat berusaha dan bekerja sama ada untuk kehidupan dunia ataupun akhirat. Kami kemukakan di sini adab-adab berhubung dengan perniagaan dan perusahaan serta keperluan bekerja dan sebab-sebabnya.

Dorongan Supaya Bekerja dan Kelebihannya

Firman Allah Taala:
وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا
Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) -masa untuk mencari rezeki.
(An-Naba':11)

Dalam ayat ini Allah Taala menyebut waktu siang untuk mencari rezeki sebagai mempamirkan anugerah nikmat-Nya.

Firman Allah Taala:
وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ ۗ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ
Dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
(Al-A'raf:10)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Taala menjadikan jalan-jalan penghidupan sebagai satu nikmat dan meminta supaya hamba hambaNya bersyukur di atas nikmat tersebut. Firman Allah Taala lagi:
لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلًا مِنْ رَبِّكُمْ
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu
(Al-Baqarah: 198)

Satu hadis telah menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Berusaha untuk mencari rezeki yang halal adalah satu jihad.¹⁹³
193 Riwayat al-Qudoie dalam kitab Musnadnya daripada Ibnu Abbas dan Abu Abdul Rahman al-Salmiy dalam kitab Thobaqat as-Sufiyyah (m.s.281) dan Abu Naim dalam kitab al-Hilyah daripada Ibnu Umar r.a.. Pada sanadnya terdapat Muhamad bin Marwan as-Suddi. Az-Zahabi menyebutnya dalam kitab al-Mizan (4/33) dan berkata bahawa ulamak hadis tidak memegang riwayat daripadanya. Kemudian beliau menyebut bahawa hadis ini adalah antara hadis mungkarnya. Lihat kitab Faidhul Qadir (4/270).

Begitu juga hadis yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah kasih kepada seseorang hamba yang bekerja.¹⁹⁴
194 Riwayat Ibnu Adi (1/369) dan at-Tobrani dalam kitab al-Kabir (13200). Pada sanadnya terdapat Asy'ath bin Said as-Siman yang merupakan perawi yang sangat daif. Az-Zahabi menyebut dalam kitab al-Mizan bahawa hadis ini juga adalah antara hadis mungkarnya. Lahat juga kitab Majma' az-Zawaid (426).

Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده، وإن نبي الله داود ـ عليه السّلام ـ كان يأكل من عمل يده
Makanan yang paling baik yang dimakan oleh seseorang ialah makanan daripada hasil usahanya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud makan dari hasil usaha tangannya sendiri.¹⁹⁵
195 Riwayat al-Bukhari (259) daripada al-Miqdam.

Dalam hadis lain menyebut bahawa;
كان زكريا نجارا
Nabi Zakaria a.s. adalah seorang tukang kayu.¹⁹⁶
196 Riwayat Muslim (2379) dan Ibnu Majah (2150) daripada Abu Hurairah r.a.

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Adam adalah seorang pembajak, Nabi Nuh merupakan seorang tukang kayu, Nabi Idris seorang tukang jahit, Nabi Ibrahim dan Lut adalah petani. Nabi Soleh adalah seorang peniaga, Nabi Daud seorang tukang besi manakala Nabi Musa, Syuaib dan Muhammad s.a.w. adalah pengembala kambing.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment