Sunday, 31 July 2022

SIRI 431 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 10: Adab-Adab Dalam Kerja Dan Hidup: Kelbihan Dan Cara Muamalah Yang Betul Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Halal dan Haram

Halaman Rujukan Kitab : 137

Nota Mudarasah:

Halal dan Haram

Hukum mencari perkara yang halal adalah wajib ke atas setiap muslim. Kebanyakan golongan yang jahil mendakwa bahawa perkara yang halal sudah tiada. Mereka berkata: Kini, hanya tinggal air yang jernih, rumput rampai dan tumbuh-tumbuhan sahaja yang halal. Selain dari itu, semuanya telah dicemari oleh sistem muamalah yang rosak. Apabila mereka yakin mengenainya sedangkan mereka menyedari bahawa mereka sangat memerlukan keperluan harian, mereka mula menceburi perkara-perkara syubhah dan haram. Fenomena ini berlaku kerana kejahilan dan kecetekan ilmu manusia sedangkan dalam hadis as-Sahihain, Nu'man bin Basyir r.a. telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
الحلال بين، والحرام بين، وبينهما أمور مشتبهات
Yang halal itu adalah jelas dan yang haram itu juga jelas, namun antara keduanya terdapat perkara syubhah (hukumnya diragui dan tidak jelas).²⁰²
202 Riwayat al-Bukhari (1/117), Muslim (1599), Abu Daud (3329) dan an-Nasaie (7/241).

Oleh kerana dakwaan golongan jahil ini merupakan satu bid'ah yang mudaratnya telah tersebar luas dan kejahatannya telah menyelinap masuk ke dalam agama, maka wajiblah dibongkarkan segala kerosakan dan keburukannya itu berdasarkan Madrak (sebab-sebab)²⁰³ yang membezakan antara perkara halal, haram dan syubhah. 203 Dalam kitab Misbahul Munir (192) ada menyebut: Madaarik as-Syar'iyyah bererti punca-punca untuk mendapatkan hukum-hakam, berdalilkan nas nas dan ijtihad hingga akhir.

Kami akan menjelaskan perkara tersebut dalam beberapa bahagian seperti mana berikut.

1. Kelebihan Mencari yang Halal dan Menjauhi yang Haram serta Peringkat Halal dan Haram

Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا
Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh.
(Al-Mukminun: 51)

Perkataan at-Toyyibat di sini bermakna sesuatu yang halal. Dalam ayat tersebut, Allah Taala telah memerintahkan supaya mendapatkan makanan yang halal sebelum perintah beramal soleh. Allah Taala berfirman ketika mencela perkara haram:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
(Al-Baqarah: 188)

Begitulah seterusnya dalam ayat-ayat yang lain.

Dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
يا أيها الناس إن الله طيب ولا يقبل إلا طيبا ، وذكر الرجل يطيل الشفر أشعث أغبر يمد يده إلى السماء يا رب يا رب ومطعمه حرام ومشربه حرام ومليشه حرام وعدي بالحرام فأتى يستجاب لذلك
Wahai manusia, sesungguhnya Allah Taala itu baik dan Dia tidak menerima melainkan yang baik-baik. Kemudian baginda menyebut tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh dalam keadaan kusut masai rambutnya dan berdebu badannya, lalu mengangkat kedua tangannya ke langit sambil berdoa: Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku. Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan sesuatu yang haram. Maka bagaimana doanya itu akan diperkenankan.²⁰⁴
204 Riwayat Muslim (1015) dan at-Tirmizi (2992).

Perkara tersebut telah diriwayatkan lebih dari satu hadis. Diriwayatkan bahawa Sa'ad telah meminta kepada Rasulullah s.a.w. agar doanya diperkenankan. Lalu baginda bersabda kepadanya:

Pastikan makanan kamu halal, nescaya doa kamu akan diperkenankan.²⁰⁵
205 Berkata al-'Iraqi dalam kitab Takhrij al-Ihya' (2/89): Telah dikeluarkan oleh at-Tobrani dalam kitab al-Ausot dan pada sanadnya terdapat perawi yang tidak ku kenali.

Para ulamak salaf sentiasa teliti dan sangat berhati-hati dalam memastikan sesuatu perkara benar-benar halal. Abu Bakar r.a. pernah termakan sesuatu yang syubhah kemudian beliau memuntahkannya kembali setelah menyedarinya.²⁰⁶ 206 Ini kerana ia adalah hasil daripada pekerjaan tukang tilik dan ia termasuk perkara buruk dan keji.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment