Tuesday, 25 May 2021

SIRI 3 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 17: Keajaiban Hati

Tajuk Mudarasah: Laluan Atau Pintu Masuk Syaitan Ke Dalam Jiwa Manusia

Halaman Rujukan Kitab : 254

Nota Mudarasah:

Laluan atau pintu masuk syaitan ke dalam jiwa adalah sifat sifat manusia itu sendiri. Laluannya terlalu banyak. Di sini kami hanya ingin menyatakan beberapa laluan utama syaitan yang boleh diibaratkan seperti lebuh raya-lebuh raya yang boleh dilalui oleh beribu-ribu gerombolan tentera syaitan.

Antara laluan utama syaitan itu ialah:

i. Hasad dengki dan bersikap haloba. Sifat tamak akan menjadikan manusia buta dan tuli (terhadap perintah Allah dan larangan-Nya). Ia juga akan menutupi cahaya mata hatinya dari mengenali laluan-laluan syaitan yang lain.

Apabila seseorang berhasad dengki, syaitan mudah mengambil peluang melalui sifat tamaknya itu dengan menghiaskan setiap perkara yang boleh memenuhi keinginan hawa nafsunya agar in kelihatan baik dan elok sekalipun perkara tersebut adalah mungkar atau keji.

ii. Perasaan marah, bernafsu dan bengis. Sifat marah boleh mencelaru dan melemahkan fikiran. Apabila tentera fikiran menjadi lemah, syaitan akan bertindak menyerang dan ia akan berjaya memperkudakan manusia. Ada riwayat menyebut bahawa iblis berkata: Sekiranya seorang manusia itu mempunyai tabiat bengis, kami akan mempermain-mainkannya seumpama kanak-kanak menggelek bola.

iii. Gemar berlebih-lebih dalam menghiasi rumah, pakaian dan peralatan perabot. Sifat ini akan menjadikan manusia menghabiskan umurnya dengan mencantikkan rumah, menghiasi atap dan dinding serta berhias dalam berpakaian dan perabot rumah. Dengan itu manusia menjadi rugi sepanjang usianya disebabkan perkara-perkara sedemikian.

iv. Terlalu kenyang kerana ia akan menguatkan nafsu syahwat dan menjauhkan dirinya dari beribadat dan taat kepada Allah Ta'ala.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment