Wednesday, 26 May 2021

SIRI 4 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 17: Keajaiban Hati

Tajuk Mudarasah: Antara Laluan Utama Syaitan Ke Hati Manusia

Halaman Rujukan Kitab : 255

Nota Mudarasah:

v. Perasaan tamak atau terlalu ingin agar diterima oleh orang lain. Jika dia terlalu ingin mendampingi seseorang (terutamanya orang yang berpengaruh atau berharta), dia akan memuji-mujinya secara melampau walaupun dalam perkara yang tidak sebenar dan juga mengampunya. Dia tidak akan menyerunya kepada perkara yang baik dan sekali-kali tidak akan mencegahnya dari perkara mungkar.

vi. Terburu-buru dan tidak berhati-hati (dalam segala segi). Nabi s.a.w. bersabda:
الْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ والتَأَنِّيّ مِنَ اللهِ
“Terburu-buru itu dari syaitan dan sifat berhati-hati dari pada Allah Taala ³³⁸.”
338 Riwayat Abu Ya'la dalam musnadnya (3/1054) dan al-Baihaqi dalam sunannya (10/104) daripada Anas r.a.. Sanadnya hasan. Lihat kitab Silsilah Ahadis as-Sahihah (1795).

vii. Sayangkan harta-benda. Apabila sifat ini menguasai jiwa, ia akan membinasakannya dan menjuruskannya untuk mencari harta tanpa melalui cara yang betul. Di samping itu ia akan membawa kepada sifat bakhil dan takut menjadi miskin, seterusnya menghalangnya dari menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan.

viii. Membawa orang awam kepada sikap fanatik dengan mazhab mazhab tertentu dan bukan mengajak mereka supaya beramal dengan dasar yang dianjurkannya (kembali kepada al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias).

ix. Membuatkan orang ramai terdorong untuk memikirkan zat Allah Taala, sifat-sifat-Nya dan juga dalam perkara yang tidak mampu difikirkan oleh manusia sehingga menjadikan mereka ragu terhadap asas-asas agama mereka sendiri.

x. Bersangka buruk terhadap orang Islam. Orang yang meng hukum manusia lain dengan berpandukan sangkaan buruk, pasti dia akan menghina, bermulut celupar dan menganggap dirinya lebih baik dari orang lain. Buruk sangka sebenarnya mencerminkan keburukan orang yang melakukannya kerana seorang mukmin akan sentiasa mencari keuzuran atau alasan untuk mukmin yang lain, manakala orang munafik pula sentiasa mencari kesalahan orang lain. Selain dari itu, setiap orang juga seharusnya mengelakkan diri dari situasi yang boleh menimbulkan tohmahan agar tidak mendorong orang lain bersangka buruk terhadapnya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment