Monday, 31 May 2021

SIRI 9 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 18: Latihan Jiwa, Mendidik Akhlak Dan Cara Merawat Penyakit Hati

Tajuk Mudarasah: Fasal 1 : Kelebihan AKhlak Baik Dan Kehinaan Akhlak Buruk (Bahagian 2)

Halaman Rujukan Kitab : 261

Nota Mudarasah:

Berkenaan tanggapan yang menyatakan bahawa sesuatu yang bersifat tabiat (sedia ada) tidak boleh berubah, sebenarnya (mengubah tabiat itu) bukan bermaksud menghapus terus sifat-sifat ini tetapi apa yang menjadi tumpuan sebenar ialah mengembalikan runtunan nafsu syahwat ke arah kesederhanaan iaitu tahap pertengahan antara terlampau menurut kehendaknya dan mengabaikannya. Bukan menghapuskannya secara total. Bagaimana kita mampu melakukan sedemikian sedangkan nafsu dan syahwat yang diciptakan itu, secara fitrahnya mempunyai faedah-faedah yang tertentu. Jika manusia membuang terus nafsu makan nescaya mereka akan mati. Begitulah juga jika dibuang nafsu berkelamin nescaya terputuslah zuriat keturunan manusia. Jika perasaan marah pula dibuang secara total, pasti manusia tidak sanggup mempertahankan diri sendiri dari segala perkara yang akan membinasakannya. Allah Taala berfirman:
أَشِدَّاء عَلَى الْكُفَّار
“(Dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam).”
(Al-Fath : 29)

Sikap keras dan tegas yang dimaksudkan dalam ayat ini hanya akan berlaku apabila wujud perasaan marah. Jika tiada perasaan marah, dengan sendirinya keinginan untuk berjihad menentang orang kafir tidak akan wujud. Firman Allah Taala:
وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ
“Dan orang yang menahan kemarahannya.”
( Aali-Imran : 134 )

Dalam ayat ini, Allah menyatakan 'orang yang menahan kemarahannya bukan orang yang tiada perasaan marah'.

Begitu jugalah yang sepatutnya berlaku dalam hal makan minum. Ia perlu dilakukan secara sederhana dan seimbang antara sikap pelahap (bernafsu besar) dengan terlampau berjimat. Firman Allah Taala:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا
“Dan makan serta minumlah dan jangan pula kamu melampau batas.”
( Al-A'raaf : 31 )

Apabila seorang guru yang membimbing muridnya mendapati bahawa di kalangan muridnya itu mempunyai sifat marah dan bernafsu besar, dia perlu segera mencelanya dengan keras agar dia kembali bersederhana. Antara bukti yang menunjukkan bahawa yang dikehendaki dengan usaha pembersihan jiwa ini adalah pada tahap bersederhana ialah sifat pemurah. Ia adalah sifat yang dituntut oleh syarak dan sifat ini mengimbangi antara sifat kedekut dan boros. Allah Taala sendiri telah memuji sifat tersebut sebagaimana firman-Nya:
وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”
( Al-Furqan : 67 )

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment