Friday, 4 June 2021

SIRI 13 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 18: Latihan Jiwa, Mendidik Akhlak Dan Cara Merawat Penyakit Hati

Tajuk Mudarasah: Fasal 3: Tanda-tanda Penyakit Hati dan Rawatannya Serta Cara Mengenali Keaiban Diri Sendiri (Bahagian 2)

Halaman Rujukan Kitab : 267

Nota Mudarasah:

Jika kamu ingin mengetahui tahap kesederhanaan yang sepatutnya, renungilah diri kamu sendiri. Sekiranya jiwamu lebih seronok mencari dan mengumpul harta dari membelanjakannya kepada mereka yang memerlukannya, ketahuilah bahawa ketika itu sifat bakhil lebih dominan dalam dirimu. Oleh itu rawatlah dirimu dengan membelanjakan harta. Sebaliknya jika membelanjakan harta lebih kamu gemari tanpa terselit perasaan untuk menyimpannya, ketika itu sifat membazir yang lebih dominan. Oleh itu, cubalah kamu kembali menahan dan mengawal diri kamu dari berbelanja. Kamu hendaklah terus memerhati dan mengawasi diri kamu serta mengenali akhlakmu itu melalui tindakan dan perbuatan kamu sendiri sama ada boros atau pun bakhil sehingga terputus hubungan rapat antara hatimu dengan harta. Ketika itu kamu tidak lagi terlalu cenderung kepada membelanjakan atau menyimpannya. Bahkan harta bagimu menjadi seperti air. Di mana apabila ada orang memerlukannya, kamu tidak rasa begitu ingin untuk menyimpannya atau begitu ingin untuk membelanjakannya. Setiap hati yang bersifat sedemikian, ia akan datang mengadap Allah Taala kelak dalam keadaan yang sejahtera.

Seseorang itu mesti bebas dari segala sifat yang buruk sehinggalah dia tidak mempunyai apa-apa pergantungan lagi kepada dunia. Ini penting agar jiwanya berangkat meninggalkan dunia yang fana' ini dalam keadaan terputus terus hubungan dengannya tanpa menghiraukannya sama sekali. Ketika itulah dia akan kembali ke pangkuan ilahi dengan jiwa yang tenang.

Tahap perseimbangan sebenar antara dua perkara ini amat sukar difahami bahkan ia lebih halus dari sehelai rambut dan lebih tajam dari mata pedang. Tidak syak lagi bahawa orang yang seimbang di atas jalan yang lurus semasa di dunia ini, dia juga akan seimbang ketika melintasi titian al-sirat pada hari kiamat nanti. Oleh kerana sukarnya beristiqamah di jalan ini, maka seorang hamba diperintah mengulangi beberapa kali pada setiap hari bacaan:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus
( Al-Fatihah : 6 )

Siapa yang tidak mampu untuk beristiqomah, hendaklah dia berusaha mendekatinya (janganlah meninggalkannya kerana berputus asa) kerana kejayaan (terlepas dari azab) hanya akan diperolehi dengan amalan yang soleh.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment