Thursday, 3 June 2021

SIRI 12 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 18: Latihan Jiwa, Mendidik Akhlak Dan Cara Merawat Penyakit Hati

Tajuk Mudarasah: Fasal 3: Tanda-tanda Penyakit Hati dan Rawatannya Serta Cara Mengenali Keaiban Diri Sendiri
Sub Tajuk: Tanda-tanda Penyakit Hati dan Rawatannya

Halaman Rujukan Kitab : 266

Nota Mudarasah:

Setiap anggota diciptakan untuk memainkan peranannya yang tersendiri. Tanda ia berpenyakit ialah apabila ia tidak mampu berfungsi melaksanakan peranannya itu atau peranan terlaksana tetapi dalam keadaan terganggu. Tangan yang sakit tidak boleh memukul dan mata yang sakit tidak boleh melihat. Begitulah juga hati yang sakit. Ia tidak akan mampu melaksanakan tugas dan peranannya sedangkan ia dicipta semata-mata untuk melaksanakan peranan tersebut. Iaitu menerima dan memiliki ilmu pengetahuan, hikmah, makrifatullah, cinta kepada Allah Taala dan beribadat kepada-Nya serta mengutamakan itu semua lebih daripada segala tuntutan hawa nafsu.

Sekiranya manusia mengenali semua perkara kecuali Allah, dia sebenarnya tidak mengenali sesuatu apa pun.

Tak kenal maka tak cinta. Sesiapa yang mengenali Allah Taala, pasti akan mencintai-Nya. Bukti cinta kepada-Nya ialah dengan mengutamakan Allah lebih daripada kepentingan yang lain. Jika tidak, itu bermakna hatinya dalam keadaan sakit. Jika perut lebih berselera kepada tanah dari roti, itu bererti ia sebenarnya sakit.

Penyakit hati adalah perkara yang tersembunyi. Kadang kadang tidak disedari oleh tuannya sendiri. Ini menyebabkan dia lalai daripadanya. Sekiranya disedari, sukar pula baginya untuk terus bertahan menelan ubatnya yang pahit kerana jenis ubatnya ialah melawan keinginan hawa nafsunya sendiri. Sekiranya dia mampu untuk terus bertahan dan bersabar, doktor pakar untuk mengubatinya pula sukar ditemui. Doktor yang dimaksudkan itu ialah para ulamak. Sedangkan penyakit ini juga telah menguasai mereka. Doktor yang berpenyakit ini pula jarang sekali mempedulikan rawatan untuk diri sendiri. Dengan itu, penyakit tersebut menjadi bertambah parah dan ilmu-ilmu berkenaan dengannya juga semakin pupus. Akhirnya manusia enggan mengakui adanya rawatan hati bahkan enggan mengiktiraf penyakit hati itu sendiri. Justeru, manusia melakukan amalan-amalan yang pada zahirnya kelihatan ibadat kepada Allah tetapi hakikatnya ia hanyalah adat kebiasaan. Ini adalah umbi kepada penyakit itu.

Sebenarnya kesihatan akan kembali pulih selepas menjalani rawatan. Iaitu setelah penyakit itu dikenal pasti dan seterusnya dirawat. Penyakit bakhil hanya mampu dipulihkan dengan membelanjakan hartanya tetapi bukan dengan cara yang melampau sehingga sampai ke peringkat membazir. Ini akan menimbulkan penyakit lain pula. Seperti seorang yang merawat penyakit yang bersifat sejuk dengan menggunakan ubat yang bersifat panas melebihi dos yang diperlukan, boleh mengakibatkan muncul penyakit lain yang bersifat panas pula. Apa yang sebenarnya dituntut ialah bersederhana.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment