Tuesday, 8 June 2021

SIRI 17 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 18: Latihan Jiwa, Mendidik Akhlak Dan Cara Merawat Penyakit Hati

Tajuk Mudarasah: Tanda-Tanda Akhlak Yang Baik

Halaman Rujukan Kitab : 271

Nota Mudarasah:

Boleh jadi ada orang yang bermujahadah itu menyangka bahawa dia telah berjaya membaiki dan mendidik akhlaknya setelah tidak lagi melakukan perkara-perkara keji dan maksiat. Dengan itu dia merasakan tidak perlu lagi bermujahadah. Sebenarnya bukan begitu. Akhlak yang baik adalah himpunan semua sifat orang yang beriman (bukan hanya tidak melakukan perkara-perkara keji dan maksiat). Allah Taala telah menyifatkan mereka dalam firman-Nya yang bermaksud:

Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.
(Al-Anfal: 2-3-4)


(Orang yang beriman yang berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka itu ialah) orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).
(Al-Taubah: 112)


Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melam paui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi - Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
(Al-Mukminun: 1-11)


Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun. Dan apabila orang yang jahil bercakap dengan mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini..
(Al-Furqan: 63-hingga ke akhir surah)


Sesiapa yang merasa sangsi tentang kedudukan dirinya, hendaklah dia cerminkan dirinya dengan ayat-ayat yang tersebut di atas. Jika semua sifat tersebut ada pada dirinya, itu tandanya dia mempunyai akhlak yang baik. Sebaliknya, jika semua sifat itu tidak ada pada dirinya, itu tandanya dia mempunyai akhlak yang buruk.

Jika hanya sebahagian sahaja dari sifat-sifat tersebut ada pada dirinya sementara sebahagian lagi tidak ada, itu bermakna dirinya mempunyai akhlak yang bercampur baur antara baik dengan buruk. Sesiapa yang berkeadaan demikian, dia hendaklah terus menjaga sifat-sifat baik yang telah dimilikinya itu di samping berusaha memiliki sifat-sifat baik yang belum ada padanya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment