Saturday, 19 June 2021

SIRI 28 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 18: Latihan Jiwa, Mendidik Akhlak Dan Cara Merawat Penyakit Hati

Tajuk Mudarasah: Didikan Awal Kepada Kanak-Kanak

Halaman Rujukan Kitab : 278

Nota Mudarasah:

Ketahuilah bahawa makanan adalah merupakan ubat yang tujuan sebenarnya ialah memperkuatkan tubuh badan untuk beribadat kepada Allah. Dunia tidak akan kekal untuk selama lamanya sementara kematian (yang pada hakikatnya) sentiasa ditunggu-tunggu pada setiap saat akan menghapuskan segala nikmat keseronokannya. Orang yang berakal waras akan sentiasa menyediakan bekalan untuk akhiratnya. Sekiranya proses pertumbuhan kanak-kanak itu adalah soleh atau baik, ia akan terpahat kuat dalam hati sanubarinya sebagaimana ukiran yang diukir pada batu.

Sahal bin Abdullah berkata: Ketika aku berumur tiga tahun, seringkali aku bangun pada waktu mala melihat bapa saudaraku Muhammad bin Sawwar bersembahyang. Pada suatu hari bapa saudaraku itu berkata kepadaku: Tidakkah kamu mengingati Allah yang telah menciptakan kamu? Aku berkata: Bagaimana aku boleh mengingati-Nya? Dia berkata: Ucapkan dalam hatimu³⁵⁸ kalimah kalimah ini:
358 Cara sebegini tidak dinamakan sebagai zikir oleh ulamak Fekah kerana sepatutnya ia bersama gerakan lidah

"Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku” sebanyak tiga kali. Selepas itu aku mempraktikkannya pada malam malam hariku. Setelah beberapa lama, aku memberitahunya bahawa aku telah melakukan apa yang disuruh. Lalu bapa saudaraku berkata: Ucapkannya sebanyak sebelas kali pada setiap malam. Aku pun berbuat demikian dan hatiku mula merasai kemanisannya.

Selepas setahun berlalu, bapa saudaraku itu berkata kepadaku: Peliharalah apa yang aku telah ajarkan kepadamu dan selalulah menyebutnya sehingga kamu meninggal dunia. Bertahun-tahun aku melakukannya dan aku dapat rasai kemanisannya di dalam rahsia lipatan hatiku. Setelah itu dia berkata lagi: Wahai Sahal!, siapa yang Allah Taala sentiasa bersamanya, memerhati dan menyaksikannya, adakah dia masih berani menderhakai-Nya? Kamu hendaklah menjauhi diri dari perbuatan maksiat.

Kemudian aku masuk ke kelas al-Quran dan aku telah menghafaz al-Quran ketika umurku enam atau tujuh tahun. Kemudian aku juga berpuasa sepanjang masa. Makananku hanyalah roti tepung barli. Aku juga berqiamul-lail pada setiap malam.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment