Tuesday, 13 July 2021

SIRI 52 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 20: Penyakit Lidah

Tajuk Mudarasah: Mengadu Bomba (Batu Api)

Halaman Rujukan Kitab : 303

Nota Mudarasah:

9. Mengadu Domba (Batu Api)

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. bersabda:


399 Riwayat al-Bukhari (10/394), Muslim (105), Abu Daud (4771) dan at-Tirmizi (2027) daripada Huzaifah r.a.

Pada kebiasaannya perbuatan mengadu-domba bermakna seseorang menceritakan kata-kata orang lain kepada pihak yang ketiga. Contohnya, dia berkata: Orang itu telah berkata kepada kamu sekian... sekian.... Sebenarnya ia tidak terhad setakat perbuatan itu sahaja bahkan termasuklah juga dalam erti kata mengadu domba (an-namimah), apabila seseorang itu mendedahkan sesuatu yang tuannya tidak suka ianya didedahkan sama ada berupa percakapan atau perbuatan. Sehingga kalau dia melihat seseorang menyembunyikan hartanya sendiri lalu dia menceritakan perkara tersebut kepada orang lain, itu juga termasuk dalam istilah an namimah iaitu mengadu-domba.

Setiap orang yang diberitahu atau diceritakan kepadanya oleh seseorang yang lain dengan tujuan mengadu domba seperti dia berkata si fulan telah berkata mengenaimu sekian..sekian atau si fulah telah melakukan sekian..sekian terhadap dirimu, dia hendaklah melakukan enam perkara iaitu:

i. Jangan mempercayai pembawa cerita tersebut kerana orang yang mengadu domba adalah orang fasik yang ditolak penyaksiannya.

ii. Menghalangnya daripada berbuat demikian dan menasihatinya.

iii. Membencinya kerana Allah kerana dia termasuk di kalangan orang yang dimurkai Allah Taala.

iv. Jangan bersangka buruk terhadap saudara yang tiada bersamanya itu.

v. Janganlah apa yang diceritakan itu membawanya kepada mengintip atau menyiasat kerana Allah Taala berfirman:


vi. Tidak reda dengan perbuatan orang yang mengadu-domba itu. Oleh itu jangan dia memanjangkan ceritanya itu.

Diriwayatkan bahawa Sulaiman bin Abdul Malik berkata kepada seorang lelaki: Aku mendengar bahawa kamu telah mengeji dan mencela aku. Lelaki itu berkata: Aku tidak pernah berbuat demikian. Sulaiman berkata: Aku telah diberi maklumat oleh seorang yang benar. Lelaki itu berkata lagi: Orang yang mengadu-domba, sekali-kali tidak akan berlaku benar. Lalu Sulaiman menjawab: Kamu betul, pergilah kamu dengan selamat.

Yahya bin Abu Kathir menyatakan pula: Pengadu domba boleh melakukan suatu kerosakan dalam masa sesaat yang tidak dapat dilakukan oleh ahli sihir dalam tempoh sebulan.

Diceritakan bahawa seorang lelaki telah menawarkan harga seorang hamba yang ingin dibelinya. Pemilik hamba itu berkata kepadanya: Aku tidak bertanggungjaawab di atas sikapnya yang suka mengadu domba dan berbohong. Lelaki itu berkata: Ya, kamu bebas dari kedua-keduanya. Lalu lelaki itu membeli hamba tersebut. Setelah beberapa ketika hambanya itu berkata kepadanya: Isterimu telah berlaku curang dan dia ingin membunuhmu. Sebaliknya kepada isteri tuannya itu, dia berkata: Suami kamu mahu menduakan kamu dan membeli seorang hamba perempuan. Kalau kamu mahu supaya aku membuatnya menjadi kasih kepadamu lalu dia tidak berkahwin lain dan tidak membeli hamba perempuan, ambillah pisau cukur dan cukurlah sehelai janggut di bahagian tengkuknya tatkala dia tidur di waktu malam. Hamba itupun (meneruskan tipudayanya dengan) berkata kepada si suami: Isterimu mahu membunuhmu ketika kamu sedang tidur. Lalu lelaki itu berpura-pura tidur. Setelah itu isterinya datang bersama pisau cukur untuk mencukur sehelai janggut di tengkuknya. Lantas lelaki itu bangun dan merampas pisau cukur itu dan kemudiannya membunuh isterinya itu. Akibatnya, ahli keluarga isterinya datang menyerang dan membunuhnya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment