Wednesday, 14 July 2021

SIRI 53 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 20: Penyakit Lidah

Tajuk Mudarasah: Lidah Bercabang (Talam Dua Muka Atau Hipokrit)

Halaman Rujukan Kitab : 305

Nota Mudarasah:

10. Lidah Bercabang (Talam Dua Muka atau Hipokrit)

Mereka adalah orang yang sentiasa berulang alik antara dua orang yang bermusuhan dan membawa cerita orang yang pertama kepada seterunya dan begitulah sebaliknya. Maksud hipokrit di sini ialah menceritakan kepada setiap pihak dengan apa yang disukai oleh pihak itu (seolah-olah dia berpihak kepadanya) atau dia berjanji akan menyokongnya atau dia memujinya ketika berdepan dengannya tetapi apabila berada di sisi lawannya, dia tanpa segan silu mencemuh pula pihak yang dipujinya tadi. Terdapat dalam hadis bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

400 Riwayat al-Bukhari (10/395), Muslim (2526) dan Malik (2/991) daripada Abu Hurairah r.a...

Apa yang disebutkan di atas adalah berkenaan orang yang tidak terpaksa melakukan demikian. Jika dia terpaksa bermuka-muka dengan membiarkan sahaja kesalahan yang dilakukan pemerintah (kerana bimbang mudarat yang lebih besar akan menimpanya), maka ia diharuskan.

Abu Darda' r.a. berkata: Sesungguhnya kami akan tersenyum apabila berhadapan dengan beberapa golongan manusia walaupun di dalam hati, kami melaknati mereka (kerana perbuatan buruk mereka).⁴⁰¹
401 Al-Bukhari telah membuat ulasan mengenainya dalam kitab sahihnya (10/437). Al-Hafiz berkata: Riwayat hadis ini disambung oleh Ibnu Abu Dunia dan Ibrahim al-Harbi dan riwayatnya adalah terputus-putus. Abu Naim meriwayatkannya dalam kitab al-Hilyah dan menyatakan bahawa ia adalah hadis munqoti' (terputus sanadnya).

Namun begitu, jika dia mampu untuk tidak menzahirkan persetujuannya dengan mereka, dia tidak seharusnya bersikap talam dua muka.

11. Memuji-muji

Sikap memuji-muji ini ada beberapa keburukan sama ada berkaitan orang yang memuji ataupun yang dipuji.

Bencana yang timbul kepada orang yang memuji ialah dia mungkin bercakap apa yang belum dipastikannya dan tiada jalan untuk mengetahuinya dengan pasti. Contohnya dia berkata: Si fulan memang seorang yang wara' dan zuhud. Antara bencananya juga ialah kadangkala pujiannya itu melampau sehingga sampai ke peringkat berbohong. Begitu juga kadang kala dia memuji orang yang sepatutnya dicela.

Dalam sebuah hadis, sabda baginda bermaksud:
Allah Taala amat murka apabila orang fasik dipuji.⁴⁰²
402 Al-Hafiz Iraqi menyatakannya dalam kitab al-Mughni (3/160): Ibnu Abu Dunia meriwayatkannya dalam kitab as-Somt dan al-Baihaqi pula dalam kitab as-Sya'ab, daripada Anas r.a.. Pada sanadnya terdapat Abu Khalaf, khadam kepada Anas r.a. yang merupakan seorang perawi yang daif.

Al-Hasan berkata: Sesiapa yang mendoakan si zalim agar kekal berkuasa, sesungguhnya dia suka agar Allah terus diderhakai.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment