Saturday, 24 July 2021

SIRI 62 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Sebab yang Membangkitkan Kemarahan dan Cara Mengatasinya

Halaman Rujukan Kitab: 314

Nota Mudarasah:

Sebab yang Membangkitkan Kemarahan dan Cara Mengatasinya

Sebagaimana diketahui bahawa mengubati setiap penyakit itu adalah dengan membenteras unsur atau elemen penyakit itu sendiri dan menghapuskan punca-punca yang boleh menyebabkan ia timbul. Antara punca kepada penyakit marah ialah sifat bangga diri, bergurau-senda, bertikam lidah, pertentangan, khianat serta tamakkan harta kekayaan dan pangkat. Ini merupakan akhlak yang hina dan dicela oleh syarak. Untuk merawatnya, setiap sifat ini perlu dihadapkan dengan sifat yang berlawanan dengannya serta bersungguh-sungguh untuk membenteras unsur-unsur kemarahan dan memutuskan jalan ke arahnya.

Ketika perasaan marah muncul, beberapa langkah perlu diambil iaitu:

Pertama:

Berfikir tentang hadis-hadis yang menyatakan kelebihan menahan kemarahan, bersikap pemaaf, lemah lembut dan juga bersabar. Sebagaimana diceritakan dalam hadis Imam Bukhari ⁴¹⁷ daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang lelaki meminta izin untuk mengadap Saidina Umar r.a., lalu beliau mengizinkannya. Dia berkata kepada Umar: Wahai anak al-Khattab, demi Allah, kamu tidak pernah memberi kepada kami dengan pemberian yang melimpah ruah dan kamu juga tidak memutuskan hukum di antara kami dengan adil. Mendengarkannya, Umar r.a. naik marah sehingga beliau ingin memukulnya. Melihatkan keadaan itu, al-Hurr bin Qais berkata: Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah berfirman kepada Nabi s.a.w.:
417 Bilangan (4642) dan (7286)


Al-Hurr berkata lagi: Orang ini jahil, tidak mengetahui.

Demi Allah, Umar tidak pernah melampaui batas itu apabila ayat tersebut dibacakan kepadanya. Beliau adalah seorang yang menurut segala batas-batas yang ditetapkan oleh Allah Azzawajalla di dalam kitab-Nya.

Kedua:

Menggerunkan dirinya kepada azab Allah Taala. Iaitu dengan berkata. "Kekuasaan Allah ke atasku melebihi kuasaku ke atas orang ini. Kalau aku bertindak terhadapnya mengikut kemarahanku, pasti aku tidak akan selamat dari kemurkaan-Nya kepadaku pada hari kiamat kelak sedangkan ketika itu aku amat perlukan kepada keampunan-Nya".

Allah Taala telah berfirman sebagaimana yang terdapat dalam sesetengah kitab (nabi-nabi terdahulu): Wahai anak Adam! Ingatlah Aku ketika kamu marah pasti Aku akan mengingatimu ketika Aku murka dan Aku tentu tidak akan membinasakanmu di kalangan orang yang Aku binasakan mereka.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment