Sunday, 25 July 2021

SIRI 63 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Sebab yang Membangkitkan Kemarahan dan Cara Mengatasinya

Halaman Rujukan Kitab : 316

Nota Mudarasah:

Ketiga:

Mengingatkan dirinya terhadap akibat buruk hasil dari permusuhan dan perbuatan membalas dendam. Dia perlu menyelamatkan maruah dirinya dari menjadi sasaran umpatan dan cemuhan musuhnya jika dia ditimpa musibah.

Manusia tidak dapat lari dari ditimpa musibah. Oleh itu sekurang-kurangnya dia hendaklah menakutkan dirinya dengan perkara-perkara tersebut yang akan berlaku ke atas dirinya di dunia ini sekalipun bukan kerana takutkan balasan di akhirat. Inilah bentuk menahan nafsu marah dengan nafsu syahwat yang lain. Oleh itu, dia tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala kerana dia menahan marah disebabkan ingin menjaga kepentingan nafsu yang lain (mengelakkan dirinya dari dicemuh dan sebagainya). Sebaliknya jika dia menahan marahnya itu dengan sesuatu perkara yang boleh membantunya di hari akhirat ⁴¹⁸, maka dia diberikan ganjaran pahala.
418 Seperti menahan marah kerana mengelakkan dirinya dari bertindak menyakiti orang lain.

Keempat:

Hendaklah dia menggambarkan betapa buruk rupa wajahnya ketika marah sebagaimana telah disebutkan tadi. Ketika itu dia ibarat seekor anjing pemburu atau singa pemangsa yang ganas. Marahnya itu akan menjadikannya jauh dari akhlak para nabi dan ulamak dalam tingkah laku harian mereka. Ini semua adalah untuk mendorong dirinya agar mencontohi jejak langkah mereka.

Kelima:

Hendaklah dia berfikir punca keinginannya untuk bertindak balas. Umpamanya marah kerana termakan hasutan syaitan yang berkata kepadanya: (Jika kamu tidak bertindak), kamu akan dianggap sebagai seorang yang lemah, hina, keji, diri yang kerdil dan dipandang rendah oleh orang lain. Ketika itu, hendaklah dia berkata kepada dirinya sendiri: Adakah kamu merasa hina dan keji untuk bersabar sekarang, tetapi tidak merasa hina atau jijik dan keji disebabkan kehinaan dan keaiban yang akan berlaku di hari kiamat kelak ketika mana orang itu memegang tanganmu dan bertindak ke atas mu pula? Adakah kamu amat bimbang dipandang hina dan kerdil oleh orang lain tetapi tidak bimbang dipandang hina oleh Allah Taala, para Malaikat dan juga para nabi a.s.!!!.? Kemarahannya hendaklah dikawal ketat kerana itu akan menjadikannya dipandang mulia di sisi Allah. Apa kena mengenanya dia dengan orang lain? Adakah dia tidak mahu termasuk di kalangan orang yang akan bangun apabila diseru pada hari kiamat dengan seruan "Bangunlah wahai orang yang pahalanya sudah ditentukan oleh Allah", di mana ketika itu hanya orang yang pemaaf sahaja yang akan bangun. Perkara seperti ini atau seumpamanya hendaklah sentiasa berada di dalam hatinya.

Keenam:

Dia hendaklah mengetahui bahawa sifat marahnya itu hanyalah untuk sesuatu yang selari dengan apa yang dikehendaki Allah (supaya ia dimarahi) dan bukannya menepati kehendak dirinya sendiri. Kalaulah begitu maka bagaimana kehendaknya boleh didahulukan mengatasi kehendak Allah Taala?. Ini semua adalah rawatan sifat marah yang berkait dengan hati.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment