Thursday, 12 August 2021

SIRI 81 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Dunia Yang Tercela (Yang Melalaikan)

Halaman Rujukan Kitab : 339

Nota Mudarasah:

Contoh lain lagi: Ketahuilah bahawa setiap dari kamu melalui tiga keadaan dalam hidupnya.

Pertama Keadaan ketika kamu tiada iaitu sebelum kamu dilahirkan.

Kedua : Keadaan ketika kamu mati sehingga waktu yang tiada kesudahannya yang kekal abadi. Jiwa atau ruhmu sentiasa wujud selepas dia keluar dari badanmu sama ada di syurga ataupun neraka. Itulah alam yang kekal abadi.

Ketiga : Antara dua keadaan ini ada keadaan pertengahan iaitu hari-hari riwayat hidupmu di dunia ini. Oleh itu lihatlah jangka hayat kamu dan bandingkannya dengan kedua tempoh tadi. Kamu tentu akan mengetahui bahawa kadar hayatmu di dunia tidak lebih dari sekelip mata jika dibandingkan dengan usia dunia keseluruhannya.

Siapa yang melihat dunia mengikut pandangan atau kacamata ini sudah tentu tidak akan condong kepadanya dan tidak akan mempedulikan kepayahan dan kesempitan atau kesenangan dan kemewahan yang berlaku dalam hidupnya. Oleh sebab itulah, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyusun batu-bata ataupun buluh buluh.⁴⁴⁸
448 Untuk memperelokkan kehidupan dan rumahnya.

Baginda s.a.w. bersabda:

449 Riwayat at-Tarmizi (2378) daripada Ibnu Mas'ud r.a. dengan sanad yang sahih.

Nabi Isa a.s. bersabda: Dunia ibarat jambatan, lintasilah ia dan jangan pula leka dengan memakmurkannya.

Ini merupakan perumpamaan-perumpamaan yang jelas. Dunia adalah jambatan untuk menuju akhirat. Bermula dengan buaian yang merupakan permulaan sehingga liang lahad yang merupakan garisan penamat (penghujung jambatan).

Di kalangan manusia ada yang telah melalui separuh jambatan, ada yang telah sampai dua pertiga darinya dan ada juga yang hanya tinggal satu langkah sahaja lagi untuk menyeberangi jambatan itu tetapi mereka ini masih dalam keadaan leka. Walau apa keadaan sekalipun, ke semua manusia mesti melintasinya. Jika ada yang berhenti dipertengahan jambatan lalu menghiasi jambatan tersebut sedangkan dia disuruh supaya melintasinya, dialah orang yang paling jahil dan dungu.

Dikatakan bahawa orang yang mengejar dunia adalah seumpama orang yang minum air laut. Semakin banyak diminumnya, semakin bertambah dahaganya sehinggalah dia mati kerananya.

Sebahagian ulamak salaf berkata kepada sahabat-sahabat mereka: Marilah kita berjalan bersama-sama kerana aku ingin menunjukkan hakikat dunia kepadamu. Apabila tiba di longgokan sampah, dia berkata: Lihatlah kepada buah-buahan, ayam, madu dan minyak sapi mereka ini.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment