Saturday, 14 August 2021

SIRI 83 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Hakikat Dunia, Kebaikan Dan Keburukan

Halaman Rujukan Kitab : 343

Nota Mudarasah:

Hakikat Dunia, Kebaikan dan Keburukannya

Kebanyakan manusia mendengar berkenaan celaan terhadap dunia secara umum tanpa pengecualian (mutlaqan). Ini menyebabkan mereka menganggap bahawa dunia yang tercela itu, termasuklah perkara-perkara yang dijadikan Allah untuk manfaat mereka. Lalu mereka meninggalkan makan dan minum sedangkan itu semua adalah untuk kemaslahatan hidup mereka.

Allah Taala telah mencipta tabiat manusia secara fitrahnya inginkan perkara yang memberi manfaat kepada mereka. Namun begitu, setiap kali nafsu mereka menginginkannya, mereka menghalangnya dengan anggapan bahawa inilah cara zuhud yang sebenarnya, sedangkan mereka jahil tentang hak diri yang mesti ditunaikan. Kebanyakan orang yang ingin berzuhud melakukan perkara ini kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup.

Di sini kami ingin menjelaskan perkara yang sebenarnya tanpa berpihak kepada mana-mana pihak iaitu; Dunia membawa makna segala apa yang ada, yang manusia mempunyai hak padanya iaitulah bumi dan segala isinya. Bumi merupakan tempat tinggal manusia. Setiap perkara yang terkandung di dalamnya seperti pakaian, makanan, minuman dan juga perkahwinan adalah bekalan dalam perjalanan seseorang hamba menuju kepada Allah Azzawajalla. Diri tidak akan hidup kecuali dengan keperluan-keperluan sebegini sepertimana juga unta kenderaan yang tidak akan dapat membawa manusia menunaikan haji di Mekkah jika tidak diberikan keperluan keperluannya. Barangsiapa yang mengambil apa yang baik darinya dan mengikut cara yang diperintahkan kepadanya, dia akan dipuji. Sebaliknya sesiapa yang mengambilnya secara melampau semata-mata memenuhi kehendak hawa nafsunya yang rakus, dia akan dicela.

Sebenarnya tiada alasan yang membolehkan seseorang itu rakus mengikut hawa nafsu sendiri kerana dia akan menyebabkan segala yang bermanfaat menjadi mudarat dan menghalangnya dari mencari bekalan untuk akhirat. Justeru, hilanglah tujuan utama dari semua perkara ini. Orang yang seperti ini boleh diumpamakan seperti orang yang sibuk menguruskan kelengkapan untanya, memberinya minum dan menghiaskannya dengan kain yang pelbagai warna sedangkan rombongannya sudahpun berangkat meninggalkannya. Ketika itu dia bersendirian di padang pasir dan terdedah kepada binatang-binatang buas yang sentiasa ingin membahamnya dan juga untanya.

Begitu juga tiada alasan yang membolehkan kita lalai dari memenuhi tuntutan keperluan ini (makan, minum, pakaian dan sebagainya) kerana unta tidak akan dapat berjalan kecuali dengan bekalan dan keperluannya. Oleh itu, jalan yang paling selamat ialah jalan pertengahan iaitu jalan yang seimbang; mengambil dunia sekadar yang diperlukan sebagai bekalan perjalanan walaupun dia amat menyukainya. Ini kerana memenuhi keinginan nafsu (mengikut kadar yang diperlukan) adalah merupakan bantuan dan tanggungjawabnya terhadap nafsu.

Sufyan at-Thauri kadang-kadang memakan makanan yang sedap-sedap dan sentiasa membawa bekal kuih al-faluzaj⁴⁵² semasa bermusafir.
452 Iaitu kuih yang diperbuat dari adunan tepung, air dan madu.

Ibrahim bin Adham juga kadang-kadang makan makanan yang sedap-sedap seraya berkata: Apabila kita dapat, kita akan makan seperti makannya seorang lelaki dan apabila tidak ada, kita akan bersabar seperti sabarnya seorang lelaki..

Perhatikan sejarah perjalanan Nabi s.a.w. serta para sahabat baginda r.a. yang mana mereka tidak mengambil dunia secara berlebihan dan tidak pula mengabaikan keperluan diri mereka sendiri. Dia sepatutnya menyedari kehendak nafsu tersebut. Sekiranya kehendak tersebut boleh memelihara dan mendorongnya ke arah kebaikan, ia tidak sepatutnya dihalang. Sekiranya kemahuan tersebut hanyalah nafsu syahwat semata-mata, tiada kena mengena dengan kebaikan yang disebutkan tadi, ketika itu kemahuannya adalah suatu yang tercela dan pada masa itulah perlunya kepada berzuhud.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment