Tuesday, 24 August 2021

SIRI 93 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Sebahagian Kisah Orang yang Pemurah

Halaman Rujukan Kitab : 357

Nota Mudarasah:

Sebahagian Kisah Orang yang Pemurah

Telah terbukti bahawa Nabi s.a.w. adalah seorang yang paling pemurah lebih daripada angin yang bertiup⁴⁷⁶.
476 Riwayat al-Bukhari (1/29), Muslim (2308) dan an-Nasaie (4/125) daripada Ibnu Abbas r.a..

Baginda tidak pernah menjawab satu permintaan dengan kalimah tidak⁴⁷⁷, Seorang lelaki telah meminta dari baginda lalu baginda memberikan kepadanya sekumpulan kambing yang ada di lereng bukit. Kemudian lelaki itu bertemu dengan kaumnya seraya berkata: Wahai kaumku! Masuklah kamu semua ke dalam Islam, sesungguhnya Muhammad memberi seumpama pemberian seorang yang tidak takutkan kefakiran.⁴⁷⁸
477 Riwayat al-Bukhari (10/381) dan Muslim (2311) daripada Jabir r.a..
478 Riwayat Muslim (2312) daripada Anas r.a..

Dalam riwayat yang lain disebut bahawa Tolhah r.a. telah berhutang dengan Saidina Othman r.a. sebanyak lima puluh ribu dirham. Satu hari Saidina Othman pergi ke masjid dan bertemu dengan Tolhah. Tolhah berkata: Aku telah bersedia untuk membayar hutangmu itu, maka ambillah. Saidina Othman berkata: Tak payahlah, ambillah ia kerana aku berikannya untukmu wahai Abu Muhammad sebagai bantuan untuk memelihara maruah kamu.

Seorang lelaki badwi datang berjumpa Tolhah meminta sedekah darinya lalu dia memperkenalkan dirinya dan hubungan kekeluargaannya dengan beliau. Tolhah r.a. berkata: Sebelum darimu, tiada seorangpun yang datang meminta dengan hubungan kekeluargaan sebegini. Lalu beliau memberikannya sebanyak tiga ratus ribu dirham.

Urwah berkata: Aku melihat Aisyah r.ha. membahagi bahagikan tujuh puluh ribu dirham sedang dia sendiri memakai pakaian yang bertampal-tampal.

Diriwayatkan lagi bahawa beliau telah membahagikan kepada orang ramai sebanyak seratus lapan puluh ribu dirham dalam masa sehari. Apabila tiba waktu senja, dia berkata kepada hamba perempuannya (jariah): Sediakan makanan untukku berbuka puasa. Lalu jariahnya meletakkan roti dengan minyak zaitun di hadapannya. Melihatkan keadaan ini, Ummu Durrah berkata kepadanya: Dari sekian banyak duit yang kamu bahagi-bahagikan itu tidakkah kamu mampu membeli sepotong daging dengan harga satu dirham untuk kita makan? Aisyah r.ha, pun berkata: Kalau tadi kamu ada ingatkan aku mengenai perkara ini, tentu aku telah lakukannya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment