Sunday, 29 August 2021

SIRI 98 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Sifat Ithar (الايثار) : Kelebihan Dan Penjelasan Mengenainya

Sub Tajuk: Perang Yarmuk Halaman Rujukan Kitab : 363

Nota Mudarasah:

Dalam peperangan Yarmuk, beberapa orang pahlawan Islam telah gugur syahid. Antara mereka ialah Ikrimah bin Abu Jahal, Suhail bin Amru, Harith bin Hisyam dan sekumpulan Bani Mughirah. Sebelum mereka syahid, dalam keadaan bergelimpangan, mereka telah diberikan air minuman tetapi mereka saling menolaknya dengan alasan orang lain lebih memerlukannya. Akhirnya, mereka semua mati syahid dalam keadaan tidak sempat meminum air tersebut.

Sedang air minuman tersebut dibawa kepada Ikrimah, beliau melihat Suhail bin Amru memerhatikan air tersebut seolah-olah mahukannya. Lalu Ikrimah berkata: Berikanlah kepada dia dahulu!. Apabila air sampai kepada Suhail, beliau terpandang al-Harith melihatnya, lalu Suhail berkata: Berikanlah kepada dia dahulu. Setiap dari mereka melebihkan saudara mereka untuk minum, walaupun dalam keadaan genting sebegitu. Mereka syahid sebelum dapat menikmati air minuman. Apabila panglima tentera Islam Khalid bin Al-Walid lalu di hadapan jenazah mereka, beliau berkata: Aku gadaikan diriku untuk kamu semua.

Seorang lelaki di kalangan sahabat r.a. telah dihadiahkan kepala kambing lalu dia berkata: Saudaraku lebih berhajat dariku. Lantas dia mengirimkannya kepada seorang lelaki lain tetapi lelaki itupun mengirimkan kepala tersebut kepada seorang yang lain semata-mata kerana melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri. Kepala kambing ini berpindah-pindah sehingga ke tujuh buah rumah dan akhirnya kembali kepada lelaki yang pertama.

Abdullah bin Jaafar telah keluar menuju ke ladang miliknya. Dalam perjalanannya, dia telah singgah di sebuah kebun tamar kepunyaan satu kaum dan ada seorang budak suruhan berkulit hitam berkerja di situ. Tiba-tiba budak itu datang dengan membawa makanannya bersama. Kemudian, ada seekor anjing memasuki kebun itu dan menghampiri budak tersebut. Lalu budak itu melem parkan secebis makanannya dan anjing itu pun memakannya. Kemudian dilemparkan secebis lagi dan anjing tersebut terus memakannya. Budak itupun terus melempar baki makanannya dan dimakan kesemuanya oleh anjing tersebut.

Abdullah memerhatikannya lalu berkata: Wahai budak! Berapa banyakkah makananmu untuk sehari? Dia berkata: Itulah sahaja makanan aku untuk sehari. Abdullah berkata lagi: Kenapa kamu begitu mengambil berat memberi makan kepada anjing itu? Dia berkata: Anjing itu bukannya anjing tempatan. Ia datang dari jauh dalam keadaan lapar dan aku tidak suka menghalaunya. Abdullah berkata lagi: Kalau begitu apa yang kamu akan lakukan (untuk makan)? Dia berkata: Aku akan berlapar pada hari ini. Lalu Abdullah bin Jaafar berkata: Aku ditegur kerana sifat pemurahku (seolah-olah aku begitu melampau), sedangkan budak ini lebih pemurah dariku. Abdullah pun membeli kebun tersebut bersama kelengkapannya dan beliau juga membeli budak tersebut dan memerdekakannya. Kemudian kebun itu diserahkan kepada budak tersebut.

Sekumpulan orang miskin berkumpul pada suatu tempat untuk menikmati jamuan. Dihadapan mereka ada beberapa keping roti yang tidak cukup untuk mereka semua. Lalu roti itu dipecah pecahkan (agar mencukupi semua). Kemudian mereka padamkan lampu dan mereka duduk untuk makan. Apabila makanan diangkat, kelihatan roti tersebut sedikitpun tidak diusik. Mereka semua tidak memakannya semata-mata kerana ingin melebihkan saudaranya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment