Wednesday, 29 September 2021

SIRI 129 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 25: Al-Ghurur (Terpedaya) Bahagian Dan Peringkatnya

Tajuk Mudarasah: Pengenalan Kepada Al-Ghurur

Halaman Rujukan Kitab : 416

Nota Mudarasah:

Di kalangan manusia ada yang terpedaya dengan dunia. Mereka berkata: "Bayaran tunai adalah lebih baik daripada bayaran bertangguh". Dunia adalah bayaran tunai, manakala akhirat adalah bayaran bertangguh (balasan nikmat yang ditangguhkan). Inilah faktor yang menyebabkan manusia sentiasa terkeliru dan terpedaya. Sesungguhnya bayaran tunai menjadi lebih baik daripada bayaran bertangguh jika bayaran tunai itu sama nilainya dengan bayaran bertangguh.

Umum mengetahui bahawa umur manusia jika dibandingkan dengan tempoh akhirat tidak sampai pun nisbah satu per seribu. Sebenarnya maksud mereka yang berkata; "Bayaran tunai adalah lebih baik daripada bayaran bertangguh" ialah apabila bayaran bertangguh itu sama nilainya dengan bayaran tunai. Inilah merupakan punca terpedayanya orang-orang kafir.

Orang yang betul aqidahnya tetapi masih melakukan maksiat juga merupakan orang yang terpedaya seperti orang kafir, kerana telah melebihkan dunia dari akhirat. Tetapi keadaan mereka lebih ringan daripada orang kafir kerana iman menjadikan mereka tidak kekal dalam azab neraka.

Ada orang yang melakukan maksiat dengan beralasan bahawa Allah Taala itu Maha Mulia dan kita hanya perlu berserah kepada pengampunan-Nya. Boleh jadi mereka ini terpedaya dengan sebab kebaikan atau kesolehan nenek moyang mereka dahulu.⁵³¹
531 Dengan menganggap bahawa mereka juga akan dimuliakan dengan mendapat keampunan Allah lantaran kemuliaan dan kesolehan nenek moyang mereka-pent.

Para ulamak berkata: Sesiapa yang mengharapkan sesuatu, dia hendaklah berusaha mendapatkannya. Sesiapa yang takutkan sesuatu, dia hendaklah berusaha melarikan diri darinya. Sesiapa yang mengharapkan keampunan dalam keadaan terus menerus melakukan dosa, dia adalah orang yang terpedaya.

Hendaklah diketahui bahawa walaupun rahmat Allah Taala amat luas, namun azab-Nya juga adalah terlalu pedih. Allah telah memutuskan bahawa orang yang kufur akan kekal di dalam neraka walaupun sebenarnya kekufuran mereka itu tidak memberi sebarang mudarat kepada Allah s.w.t.. Dia berkuasa memberi penyakit dan ujian kepada manusia di dunia dan Dia juga berkuasa menghilangkannya. Kemudian Dia juga telah menakut-nakutkan kita dengan azab seksaan-Nya. Justeru, kenapa kita masih tidak merasa takut?.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment