Thursday, 30 September 2021

SIRI 130 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 25: Al-Ghurur (Terpedaya) Bahagian Dan Peringkatnya

Tajuk Mudarasah: Pengenalan Kepada Al-Ghurur

Halaman Rujukan Kitab : 417

Nota Mudarasah:

Perasaan takut (kepada Allah) dan mengharap (keampuanan Nya) merupakan dua pemacu yang mendorong ke arah melakukan sesuatu amalan. Setiap perkara yang tidak mendorong kepada beramal adalah suatu tipudaya seperti sifat mengharap (raja') yang berlaku pada kebanyakan manusia yang membawa mereka kepada menganggur (tidak beramal) dan lebih mengutamakan maksiat.⁵³²
532 Mereka tidak beramal bahkan masih melakukan maksiat kerana merasa sudah cukup dengan mengaharapkan (raja') kurniaan, belas kasihan dan keampunan Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani dan Maha Pengampun. Ini adalah ghurur yang sangat merbahaya dan membinasakan pent.

Apa yang menghairankan, generasi kurun pertama Islam telah beramal dan merasa takut kepada Allah. Umat Islam zaman sekarang⁵³³, walaupun iman mereka dalam keadaan lemah dan tidak sempurna, namun mereka masih merasa tenang, tidak takut dan bimbang. Adakah kamu mendapati mereka ini mengetahui sesuatu mengenai sifat kemuliaan (pemaaf) Allah yang tidak diketahui oleh para nabi dan orang soleh?.⁵³⁴
533 Bagaimana pula dengan zaman kita hari ini?!!.
534 Maksudnya adakah para nabi dan orang yang soleh itu tidak mengetahui Allah Taala itu Maha Mulia dan Memaafkan sehingga menyebabkan mereka sentiasa merasa takut dan seterusnya beramal? Bahkan mereka sebenarnya lebih mengetahui daripada kita. Namun mereka tetap beramal dan takut kepada Allah Taala-pent.


Sekiranya semua perkara boleh diperolehi dengan impian dan angan-angan, kenapa pula mereka (di zaman dahulu) berpenat lelah melakukan ibadat dan sentiasa menangis (ketakutan)?. Bukankah disebabkan angan-angan tersebut maka Allah Taala mencela ahli kitab sebagaimana dalam firman-Nya:
يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَٰذَا الْأَدْنَىٰ وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا
Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: Akan diampunkan kelak dosa-dosa kami.
( Al-A'raf : 169 )

Orang yang terpedaya dengan kebaikan atau kesolehan nenek moyangnya, dia seharusnya mengenangkan kisah Nabi Nuh a.s. bersama anaknya, Nabi Ibrahim a.s. bersama ayahnya, Nabi Muhammad s.a.w. bersama ibunya⁵³⁵ dan kisah-kisah nabi yang lain.
535 Mungkin pengarang merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (971), Abu Daud (3234) dan an-Nasaie (4/90) daripada hadis Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: Aku meminta izin dari Tuhanku untuk meminta ampun untuk bondaku, tetapi Dia tidak mengizinkannya dan aku memohon izin dari-Nya untuk menziarahi kubur ibuku, lalu aku diberi keizinan.

Contoh sifat terpedaya yang hampir serupa ialah orang yang melakukan maksiat dan juga ketaatan. Maksiat yang dilakukan adalah lebih banyak sedangkan mereka menyangkakan sebaliknya. Contohnya ialah salah seorang dari mereka bersedekah sebanyak satu dirham, sedangkan dia sendiri telah merampas harta yang berjumlah berlipat kali ganda dari itu. Bahkan mungkin sedekahnya itu adalah dari harta rompakannya. Namun begitu, dia masih bersedekah dan berharap mendapat keampunan dengan sedekahnya itu. Ia tidak ubah seperti seorang yang meletakkan satu dirham pada salah satu piring timbangan dan seribu dirham pada piring yang satu lagi, lalu berharap agar piring timbangan satu dirham itu lebih berat dari seribu dirham.

Di kalangan mereka juga ada yang terpedaya kerana menyangka bahawa ketaatan yang mereka lakukan adalah lebih banyak daripada maksiat-maksiat yang dilakukannya. Perkara ini berlaku kerana mereka hanya menghitung kebaikan tanpa menghitung kejahatan atau dosa yang dilakukan. Keadaan ini samalah seperti seorang yang meminta keampunan dari Allah Taala dengan beristighfar dan bertasbih kepada-Nya sebanyak seratus kali setiap hari, tetapi dia menghabiskan sepanjang harinya dengan mengumpat orang Islam dan bercakap dalam perkara yang dimurkai Allah. Dia hanya melihat kelebihan istighfar dan tasbih, tetapi pada masa yang sama tidak melihat hukuman atau akibat daripada dosa mengumpat dan percakapan dalam perkara yang ditegah.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment