Thursday, 2 September 2021

SIRI 102 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 22: Cintakan Pangkat Dan Riya' Yang Tercela Dan Cara Rawatannya

Tajuk Mudarasah: Kisah Salafussoleh Mengendali Kemasyhuran Diri

Halaman Rujukan Kitab : 371

Nota Mudarasah:

Sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa pada suatu hari beliau keluar dari rumahnya lalu diikuti oleh sekumpulan manusia. Dia berpaling ke arah mereka lalu berkata: Kenapa kamu mengikutiku? Demi Allah, jika kamu tahu apa yang terjadi di sebalik pintu rumahku yang tertutup itu, tentu kamu tidak akan mengiringiku walaupun seramai dua orang. Dalam riwayat lain Ibnu Mas'ud r.a. berkata: Baliklah kerana perbuatan kamu ini merupakan satu kehinaan kepada orang yang mengikut dan fitnah kepada orang yang diikut.

Abu Aliah r.hm. pula apabila dikerumuni oleh lebih dari empat orang, dia akan bangun melarikan diri.

Khalid bin Ma'dan r.hm., apabila majlisnya bertambah besar (kerana ramainya orang yang ingin mendengarnya), dia akan bangun dan berlalu kerana bencikan kemasyhuran.

Az-Zuhri r.hm. pernah menyatakan: Kami lihat terlampau sedikit di kalangan manusia yang mampu berzuhud dalam hal kepimpinan. Kami dapati seseorang itu boleh zuhud dalam hal makanan, minuman atau harta benda tetapi apabila dicabar dalam hal kepimpinan, dia akan mempertahankannya bahkan sanggup bermusuhan kerananya.

Seorang lelaki berkata kepada Bisyr al-Hafi r.hm.: Nasihatkanlah aku. Bisyr berkata: Janganlah menonjol diri dan hendaklah kamu pastikan sumber makananmu adalah halal. Orang yang suka dirinya dikenali ramai di dunia, dia tidak akan merasai kemanisan akhirat.

Dalam sahih Muslim,⁴⁹⁶ diriwayatkan bahawa Umar bin Saad pergi menemui ayahnya Saad yang sedang mengembala kambing di pinggir Madinah. Apabila Saad melihatnya, dia berkata: Aku berlindung dengan Allah dari kejahatan si penunggang ini. Apabila Umar sampai, dia menyapa: Wahai ayahku! Kamu sanggup duduk menjaga kambing dan untamu, dan kamu membiarkan orang ramai berkelahi kerana berebut kuasa? Saad pun menepuk dada anaknya itu dan berkata: Diam, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
496 Nombor (2965)


Daripada Abu Umamah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

497 Bahkan ia adalah hadis daif kerana pada sanadnya terdapat Ali bin Yazid al-Alhani yang merupakan seorang perawi yang daif. Hadis riwayat Ahmad dalam Musnadnya (5/252), bab Zuhud (11), Wakie' dalam az-Zuhd (133), Ibnu Mubarak dalam az-Zuhd (54-Ziadat Naim), at-Tirmizi (4/575), at Tobrani dalam kitab al-Kabir (8/242) dan lain-lain lagi.

Ibnu Mas'ud pernah menasihati sahabat-sahabatnya dengan berkata: Jadilah kamu punca-punca mata air ilmu, pelita-pelita petunjuk, permaidani atau tikar yang terhampar di rumah (sentiasa mendiami rumah untuk mengabdikan diri kepada Allah) dan lampu-lampu yang menyinari di malam hari (penunjuk kepada jalan kebenaran) serta hati-hati yang baru (sentiasa digilap dengan berzikir dan berfikir) dalam keadaan berpakaian lusuh. Kamu dikenali di kalangan penduduk langit walaupun tidak dikenali oleh penduduk bumi.

Jika dikatakan: Apa yang disebut di sini ialah tentang kelebihan orang yang tidak menonjolkan diri dan mencela kemashyuran. Persoalannya ialah kemasyhuran mana lagi yang lebih hebat dari kemasyhuran para nabi dan para tokoh ulamak?. Apakah itu juga tercela?

Jawapannya: Yang tercela ialah apa yang sengaja dicari oleh manusia. Sekiranya kemasyhuran itu datang dari anugerah Allah tanpa dicari, ia tidak tercela. Tetapi ia menjadi fitnah kepada orang yang lemah hatinya. Orang yang lemah jiwa ini seumpama orang yang kurang mahir berenang. Jika orang lain berpaut kepadanya, dia akan lemas dan melemaskan orang yang berpaut itu. Manakala perenang yang mahir pula, jika orang lain berpaut kepadanya, dia akan menyelamatkan orang tersebut.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment