Wednesday, 8 September 2021

SIRI 108 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 22: Riya': Hakikat Dan Bahagian-Bahagiannya Serta Celaan Terhadapnya

Tajuk Mudarasah: Bahagian-Bahagian Riya'

Halaman Rujukan Kitab : 379

Nota Mudarasah:

Golongan ini terbahagi kepada beberapa peringkat. Ada yang ingin mencari kedudukan di sisi orang soleh dengan menampakkan kezuhudannya melalui pakaian compang-camping, kotor dan kasar. Jika diberikan pakaian bersih dan sederhana kepadanya sebagaimana pakaian ulamak-ulamak terdahulu, reaksi mereka seolah-olah akan disembelih kerana terlampau takut jika ada orang yang berkata: Dulu nampak macam orang zuhud, tapi sekarang sudah meninggalkan jalan tersebut!.

Pada peringkat yang lain, ada yang ingin mencari keredaan orang yang soleh dan juga ahli dunia seperti raja-raja, pemimpin dan ahli perniagaan. Jika mereka memakai pakaian yang mewah. mereka takut orang yang soleh tidak akan menerima mereka. Dan jika mereka memakai pakaian compang-camping pula, tentu para pemimpin dan orang-orang kaya akan memandang rendah kepada mereka.

Orang yang seperti ini ingin mencari keredaan kedua-dua belah pihak lalu mencari pakaian yang lembut, baju dan kain yang mahal untuk dipakai. Serendah-rendah harga pakaian mereka seumpama pakaian orang kaya-raya. Itu dari segi harga, manakala dari segi warna dan fesyen pakaiannya pula, ia menyerupai fesyen pakaian orang yang soleh. Dengan itu mereka dapat diterima oleh kedua-dua golongan tersebut.

Golongan seperti ini, kalau disuruh memakai baju yang kasar atau kotor, mereka takut seumpama akan disembelih. Ini kerana. mereka bimbang akan menjatuhkan pandangan raja-raja dan orang kaya terhadap mereka. Begitu juga kalau disuruh memakai pakaian (yang lebih bermutu) yang halus lembut dan dari jenis tenunan benang kattan (flax) berwarna putih, mereka juga akan keberatan kerana bimbang kedudukan mereka akan jatuh di sisi orang yang soleh. Setiap orang yang menunjuk-nunjuk dengan satu jenis gaya pakaian tertentu, akan menjadi berat kepadanya untuk bertukar tukar jenis dan cara pakaiannya sama ada kepada yang lebih murah atau lebih mewah kerana takut dicemuh.

Manakala ahli dunia, mereka menunjuk-nunjukkan kelebihan diri dengan pakaian yang bermutu, kenderaan yang terbaik dan pelbagai jenis hiasan sama ada pada pakaian, tempat tinggal atau perabot rumah. Sedangkan sewaktu mereka berada di rumah, mereka tidak keberatan memakai pakaian yang kasar-kasar dan sebagainya. Ini semua kerana mereka takut martabat mereka akan jatuh jika dilihat dalam keadaan sedemikian.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment