Saturday, 11 September 2021

SIRI 111 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 22: Riya': Hakikat Dan Bahagian-Bahagiannya Serta Celaan Terhadapnya

Tajuk Mudarasah: Tahap-Tahap Penyakit Riya'

Halaman Rujukan Kitab : 383

Nota Mudarasah:

Tahap-tahap Penyakit Riya'

Ketahuilah bahawa sebahagian jenis riya' lebih berat dari seba hagian yang lain kerana riya' mempunyai beberapa peringkat iaitu:

i Riya' paling berat ialah jika tujuan asal ibadat seseorang bukanlah untuk mendapatkan pahala sama sekali. Seperti seorang yang bersembahyang ketika di khalayak ramai tetapi jika berseorangan, dia tidak akan bersembahyang.

ii Tahap kedua ialah jika disamping riya', dia juga mempunyai sedikit niat untuk mendapatkan pahala. Di mana kalau bersendirian, dia tidak akan melakukannya. Tahap ini hampir dengan tahap yang pertama di mana kedua-duanya adalah dimurkai oleh Allah.

iii- Tahap ketiga ialah jika niat antara mendapat pahala dan riya' adalah sama dalam melakukan sesuatu amalan. Di mana jika dia hanya berniat untuk mendapat pahala tanpa rasa riya'⁵⁰⁶ atau sebaliknya, dia tidak akan terdorong untuk melakukan amalan tersebut. Orang seperti ini telah melakukan suatu amalan yang baik (kerana berniat untuk mendapatkan pahala) dan dalam masa yang sama dia merosakkannya (kerana riya). Dalam keadaan ini, dia juga tidak terselamat dari dosa.
506 Contohnya, dia tidak akan bersedekah kalau tidak dilihat oleh orang lain kerana dia juga berniat untuk riya'. Ini bererti kalau dia bersedekah dia hanya akan mendapat pahala tetapi tidak mendapat nama. Sebab itulah dia tidak terdorong untuk melakukannya-pent.

iv- Tahap keempat ialah jika pengetahuan dan pemerhatian orang ramai menjadikan dia semakin bersemangat dan cergas dalam amal ibadatnya. Walaupun begitu, sekiranya orang ramai tidak melihatnya, dia tetap melakukan amal ibadatnya itu. Orang seperti ini diberikan ganjaran baik kerana niatnya yang betul dan balasan buruk dengan niatnya yang salah.

Riya' yang hampir dengan jenis ini juga ialah riya' yang berlaku terhadap sifat sesuatu ibadat, bukan pada niat asal atau tujuan awal ibadatnya. Contohnya ialah apabila seseorang itu bersembahyang kerana Allah tetapi dengan hasrat untuk meringankan ruku', sujud dan tidak memanjangkan bacaan. Namun apabila terdapat orang lain memerhatikannya, dia mula memperelokkan perbuatan-perbuatan tersebut. Ini juga termasuk dalam riya' yang diharamkan kerana mengandungi unsur-unsur membesarkan makhluk. Walaupun begitu, riya' sebegini tidaklah seteruk riya' pada niat atau tujuan asal ibadatnya dilakukan sepertimana tahap pertama.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment