Sunday, 12 September 2021

SIRI 112 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 22: Riya': Hakikat Dan Bahagian-Bahagiannya Serta Celaan Terhadapnya

Tajuk Mudarasah: Riya' Tersembunyi yang Lebih Sukar Dikesan daripada Bunyi Semut

Halaman Rujukan Kitab : 384

Nota Mudarasah:

Riya' Tersembunyi yang Lebih Sukar Dikesan daripada Bunyi Semut

Riya' mempunyai dua jenis iaitu riya' yang terang (al-jaliyy) dan riya' yang yang tersembunyi (al-khafiyy).

i. Riya' yang terang ialah riya' yang menjadi pendorong kepada seseorang untuk beramal.

ii. Riya' yang lebih tersembunyi sedikit dari itu. Iaitu apabila riya' itu sendiri bukanlah semata-mata pendorong kepada sesuatu amalan tetapi ia boleh menjadikan seseorang itu merasa ringan untuk melakukan amalan yang dibuat kerana Allah itu. Umpamanya seorang yang sentiasa bangun bertahajjud dalam keadaan berat untuk melakukannya. Tetapi jika ada tetamu datang, dia akan bertahajjud dengan penuh semangat dan mudah untuk mendirikannya.

iii. Riya' yang lebih halus dan tersembunyi dari itu. Di mana riya' ini sedikitpun tidak menjadi faktor dorongan atau rasa mudah untuk beramal. Namun riya' tersebut tetap wujud di lubuk hati. Oleh kerana amalan yang dilakukan itu bukan didorong oleh perasaan riya, maka ia hanya dapat dikesan atau diketahui dengan beberapa petanda. Dalam hal ini, petanda yang paling jelas ialah dia merasa senang dan gembira jika ada orang lain mengetahui ibadat yang dia lakukan.

Berapa ramai di kalangan hamba Allah yang beramal dengan niat yang ikhlas daripada awal ibadat sehingga ke akhirnya, tidak dalam keadaan riya' bahkan dia membencinya, namun apabila ada manusia melihatnya, dia merasa gembira dan selesa. Keadaan ini menjadikan hatinya merasa lega sedikit dari kepenatan ibadatnya. Kegembiraan ini menunjukkan riya' masih tersembunyi di dalam dirinya. Riya' itulah yang melahirkan kegembiraan tersebut. Jikalau hati tidak terpaut atau cenderung kepada manusia, sudah tentu kegembiraan tidak akan lahir jika amalannya diketahui orang.

Dengan ini, dapatlah dikenal pasti bahawa perasaan riya' sebenarnya masih menyusup tersembunyi di dalam hatinya seumpama tenaga api yang tersembunyi di dalam batu (pada zahirnya ia tidak kelihatan tetapi bila diketuk ia akan mengeluarkan percikannya). Ini terbukti melalui wajahnya yang kelihatan suka dan gembira apabila amalan dan usahanya diketahui orang. Rentetan dari itu, ketika dia merasa gembira dengan pengetahuan orang lain, dia tidak bertindak segera untuk melawannya dengan rasa benci, bahkan kadang-kadang dia akan bergerak dengan satu pergerakan yang halus dan dia berusaha agar tindakannya itu dapat dikesan secara tidak langsung bukan dengan terang-terangan.

iv. Ada riya' yang lebih tersembunyi sehingga tidak dizahirkan melalui percakapan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tetapi ia boleh dikesan melalui keadaan fizikalnya. Contohnya, dia menzahirkan keadaan badannya yang kurus dan pucat, suara yang lemah, kedua-dua bibir yang kering, kesan kesan air mata dan selalu mengantuk untuk menunjukkan bahawa dia sentiasa bertahajjud.

v. Riya' yang lebih halus lagi daripada semua yang di atas. Iaitu apabila dia menyembunyikan amalannya dan tidak mahu dilihat atau diketahui oleh orang lain. Tetapi apabila dia berjumpa dengan orang ramai, dia lebih suka sekiranya mereka memberi salam kepadanya (kerana merasai kehebatannya). Dia juga merasa senang hati apabila orang lain yang ditemuinya bermanis muka kepada nya dan menghormatinya. Demikianlah juga perasaannya apabila orang lain bersegera menunaikan keperluannya, bertolak ansur kepadanya dalam hal muamalah dan melapangkan tempat duduk untuknya. Jika ada orang yang tidak berbuat demikian, dia merasa tidak selesa. Jiwanya seolah-olah menuntut orang lain menghormatinya kerana ibadat dan ketaatan yang dilakukannya.

Selagi mana seseorang itu tidak merasai bahawa ibadat yang dilakukannya itu adalah seperti tidak wujud ketika di hadapan khalayak ramai⁵⁰⁷, maka selagi itulah dia masih belum terlepas dari penyakit riya' yang halus dan tersembunyi ini. Semua penyakit riya' yang halus ini boleh mengurangkan pahala ibadat yang dilakukan dan hanya golongan siddiqun (yang benar imannya kepada Allah dan Rasul) sahaja yang mampu terselamat darinya.
507 Iaitu tiada kaitan langsung dengan orang lain. Sama ada mereka tahu atau tidak, ia tidak diambil peduli. Apa yang penting ialah Allah melihat apa yang dilakukannya dan seterusnya menerima ibadatnya itu-pent.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment