Tuesday, 14 September 2021

SIRI 114 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 22: Riya': Hakikat Dan Bahagian-Bahagiannya Serta Celaan Terhadapnya

Tajuk Mudarasah: Bagaimanakah Bentuk Riya' yang Menghapuskan Pahala Amalan dan yang Tidak Menghapuskan

Halaman Rujukan Kitab : 389

Nota Mudarasah:

Bagaimanakah Bentuk Riya' yang Menghapuskan Pahala Amalan dan yang Tidak Menghapuskan

Apabila seseorang hamba didatangi perasaan riya', dia tidak akan terlepas dari tiga keadaan:

Pertama:

Riya' datang selepas selesai menunaikan sesuatu ibadat. Sekiranya timbul perasaan senang dan gembira setelah melakukannya kerana diketahui oleh orang ramai di mana ia bukan berpunca dari usahanya sendiri, itu tidak akan menghapuskan pahala amalnya itu kerana ibadat telah dilaksanakan dengan tulus ikhlas. Apa yang berlaku selepas dari itu tidak diambil kira, lebih-lebih lagi jika dia tidak berniatpun untuk menzahir ataupun menceritakan amalannya itu.

Sekiranya dia yang mencerita dan menzahirkan kepada orang lain setelah melakukannya, inilah perkara yang dibimbangkan. Lazimnya, terdapat bibit-bibit riya' dalam hati orang yang sebegini ketika melakukan ibadat. Jika hatinya bersih dari riya' semasa beribadat, bercakap mengenainya setelah melakukannya boleh mengurangkan pahalanya. Perbezaan pahala antara amal yang dilakukan secara senyap dan terang ialah sebanyak tujuh puluh darjat.

Kedua:

Riya' datang sebelum selesai menunaikan ibadat seperti sembahyang yang didirikan dengan ikhlas (pada awalnya, kemudian ia diketahui orang lalu timbul perasaan seronok di dalam hatinya). Jika perasaan yang datang itu adalah perasaan gembira semata mata, ia tidak memberikan kesan. Tetapi jika datang perasaan. riya' yang mendorongnya kepada beramal (dengan lebih baik. dan sempurna) seperti memanjangkan sembahyangnya untuk menunjukkan kedudukan dirinya dalam hal ibadat, ini akan menggugurkan pahala amalannya.

Ketiga:

Riya' yang datang seiring dengan amal yang dilakukan. Contohnya memulakan sembahyang dengan niat menunjuk-nunjuk. Jika dia menyempurnakan sembahyang dalam keadaan begitu, pahala sembahyangnya tidak dikira. Jika dia menyesal ketika sembahyang, dia sewajarnya mengulangi semula sembahyangnya itu.⁵¹²
512 Huraian lebih lanjut mengenainya boleh dilihat dalam kitab Ittihaf as Saadatil Muttaqin, karangan al-Murtadho, bab pangkat dan riya' yang tercela. Juzuk ke 10, Darul Kutub al-Ilmiyyah. 1409H/1989M-pent.

Wallahu A'lam.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment