Saturday, 18 September 2021

SIRI 118 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 22: Riya': Hakikat Dan Bahagian-Bahagiannya Serta Celaan Terhadapnya

Tajuk Mudarasah: Rajin Beribadat ketika Bersama atau kerana Melihat Orang Lain Beribadat: Boleh atau Tidak?

Halaman Rujukan Kitab : 396

Nota Mudarasah:

Rajin Beribadat ketika Bersama atau kerana Melihat Orang Lain Beribadat: Boleh atau Tidak?

Kadang-kadang seseorang itu tidur bersama dengan orang yang bertahajjud, lalu dia bersembahyang pada kebanyakan malam bersama mereka sedangkan pada kebiasaannya dia hanya bertahajjud seketika sahaja. Namun pada malam itu dia seiring dengan mereka. Atau dia berpuasa apabila mereka berpuasa. Kalaulah tidak kerana mereka, tentu dia tidak serajin itu.

Mungkin ada yang menyangka bahawa ia merupakan riya'. Sebenarnya ia tidak boleh dihukum begitu secara umum. Bahkan ia perlu kepada huraian yang lebih terperinci. Setiap orang yang beriman ingin beribadat kepada Allah tetapi kebanyakan mereka mempunyai halangan dan juga kelalaian. Mungkin dengan menyaksikan orang lain beribadat, ia akan menghapuskan halangan dan kelalaian tersebut. Apabila berada di rumah, banyak perkara boleh menghalangnya seperti tidur di atas tilam yang empuk, bermesra dengan isteri dan sebagainya. Namun apabila dia berada di tempat asing, segala halangan ini sudah tiada dan ketika itu datanglah segala dorongan kepada kebaikan, di antaranya apabila dia menyaksikan ahli-ahli ibadat yang lain.

Kadang-kadang dia sukar untuk berpuasa kerana di rumahnya terlalu banyak makanan. Ini berbeza jika dia berada di tempat lain. Dalam situasi seperti ini, syaitan sentiasa menyekatnya dari melakukan ketaatan dengan berkata: Jika kamu beramal lain dari adat kebiasaan, kamu dikira riya'. Ketika itu jangan pedulikan hasutan syaitan tersebut bahkan dia hendaklah lihat kepada niat batinnya, bukannya kepada perasaan was-was yang dimainkan oleh syaitan.

Dia hendaklah sentiasa menguji keikhlasan hatinya dengan mengandaikan bahawa orang lain itu berada di satu tempat di mana dia dapat melihat mereka tetapi mereka tidak dapat melihatnya. Jika dia dapati hatinya merasa ringan beribadat kepada Allah, itu bererti amalannya itu adalah kerana Allah. Namun jika dia tidak merasakan demikian (ketika bersendirian tadi) sebaliknya merasa ringan bila benar-benar berada di hadapan mereka, sikap itulah yang dinamakan riya'. Oleh itu bandingkanlah dirinya dengan keadaan seperti ini.

Inilah sebahagian dari bencana-bencana riya'. Kajilah benar benar berkenaannya dan perhatikanlah niat kamu kerana riya' itu lebih tersembunyi daripada bunyi derapan kaki sang semut. Orang yang inginkan keredaan Allah perlu memastikan hatinya sentiasa berpada dengan ilmu (pengetahuan) Allah⁵¹⁶ terhadap segala ketaatan yang dilakukannya. Orang yang dapat berbuat demikian merupakan orang yang takut kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya. Dia tidak seharusnya berputus asa dari berusaha diri dengan berkata: Orang yang mampu bersifat ikhlas adalah orang yang kuat imannya sedangkan aku seorang yang sering keliru (bercampur aduk). Lalu dia meninggalkan usaha untuk mendapatkan sifat ikhlas sedangkan orang yang kelirulah yang lebih memerlukan sifat ikhlas itu.
516 Cukuplah dengan pengetahuan Allah terhadap amalannya. Tidak perlu menghiraukan pengetahuan orang lain. Kerana Allah lah yang akan memberikan balasan, bukannya manusia-pent.

Ibrahim bin Adham berkata: Aku belajar suatu ilmu dari seorang pendita yang dikenali sebagai Sam'an. Aku masuk ke biaranya dan berkata kepadanya: Semenjak bila kamu berada di biara ini? Pendita itu berkata: Sejak tujuh puluh tahun dahulu. Aku bertanya lagi: Apakah makanan kamu? Dia berkata: Setiap malam aku makan sebiji kacang. Aku bertanya lagi: Apa yang mendorong hati kamu sehingga kamu rasa cukup dengan sebiji kacang itu?. Dia berkata: Adakah kamu nampak rumah pertapaan di sebelahmu itu?.

Aku berkata: Ya. Dia berkata: Mereka itu datang kepadaku sehari dalam setahun. Mereka menghiasi biaraku dan mengelilinginya kerana memulia dan membesar-besarkan aku. Apabila hatiku rasa berat untuk melakukan ibadat, aku mengingatkan diriku tentang saat-saat gembira itu. Aku sanggup bersabar setahun kerana kegembiraan pada saat tersebut. Oleh itu saudaraku, bersabarlah sesaat untuk kegembiraan selama-lamanya.

Kata-katanya itu telah terpacak menjadi pengetahuan yang kukuh di dalam hatiku, Dia berkata lagi: Boleh aku menambah lagi? Aku berkata: Ya, silakan. Dia berkata: Turunlah dari biara ini. Aku pun turun, kemudian dia memberikan kepadaku satu uncang (yang diperbuat daripada kulit) yang mengandungi 20 biji kacang. Kemudian dia berkata kepadaku: Masuklah ke rumah pertapaan itu kerana mereka telah melihat apa yang aku berikan kepadamu. Apabila aku memasuki rumah ibadat tersebut, kumpulan nasrani mengerumuniku dan berkata: Wahai saudara, apa yang pendita telah berikan kepadamu? Aku menjawab: Sesuatu daripada makanannya. Mereka bertanya lagi: Apa yang kamu boleh buat dengan kacang sebanyak itu? Kami sebenarnya lebih berhak untuk memilikinya. Sebutkan tawaran harga mu kepada kami. Aku berkata: Dua puluh dinar. Mereka pun memberikan dua puluh dinar kepadaku. Aku kembali menemui pendita tersebut lalu dia berkata: Sebenarnya kamu tersilap. Kalau kamu katakan dua puluh ribu pun pasti mereka akan membayarnya. Jika inilah kemuliaan dan kehebatan orang yang tidak disembah, maka renungilah bagaimana pula dengan kemuliaan dan kehebatan yang disembah (Allah). Wahai saudaraku, berhadaplah kepada Tuhanmu dengan bersungguh-sungguh.

Melalui kisah ini, ternyatalah bahawa merasai kehebatan diri di hati manusia boleh mendorong seseorang itu untuk berkhalwat atau bersendirian (melakukan ibadat). Dan ini merupakan satu bencana yang sangat besar. Tanda dia terselamat daripada bencana riya' ini ialah apabila (amalan yang dilakukannya itu sama ada di hadapan) manusia atau binatang adalah sama sahaja di sisinya⁵¹⁷. Dengan itu, jadilah amal ibadatnya itu seolah-olah amal ibadat orang yang sedang bersendirian di atas muka bumi ini dan jika timbul lintasan-lintasan yang lemah, Allah akan menjauhkannya darinya.
517 Yang dimaksudkan dengannya di sini ialah dari segi riya' dan sum'ah. Bukannya dari segi nilai.

Wallahu Taala A'lam.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment