Friday, 24 September 2021

SIRI 124 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 24: Sifat Takabur Dan Ujub Yang Tercela

Tajuk Mudarasah: Merawat Sifat Takabur dan Bersifat Tawaduk

Halaman Rujukan Kitab : 408

Nota Mudarasah:

"Sesungguhnya dua malaikat telah diwakilkan kepadamu untuk mencatat segala perbuatan dan percakapanmu semasa kamu hidup di dunia. Pada masa itu kamu bergembira dan bermegah dengan nikmat yang dikurniakan. Mereka mencatat kesemuanya sama ada banyak atau sedikit, ketika duduk atau berdiri dan makan atau minum. Semuanya itu kamu telah lupai tetapi Allah telah mencatat kesemuanya. Marilah kamu untuk dihisab dan sediakanlah segala jawapanmu kerana jika tidak, kamu akan diheret ke dalam neraka".

Jika inilah keadaannya, bagaimana seseorang itu masih boleh hidup dalam keadaan takabur?. Sekiranya dia dihumban ke dalam neraka, maka binatang adalah lebih beruntung darinya, kerana binatang akan menjadi tanah selepas ia mati. Kalau begitulah keadaannya sedangkan dia masih ragu-ragu sama ada dosanya akan diampunkan atau tidak, kenapa dia masih mahu bersifat takabur? Siapa yang boleh membebaskan dirinya daripada seksaan jika dia melakukan dosa? Bandingannya ialah seperti seorang yang melakukan jenayah terhadap seorang raja yang boleh mengakibatkan dia dirotan sebanyak seribu kali sebatan. Dia kemudiannya dipenjarakan sebelum dihukum rotan. Ketika dalam penantian untuk dipanggil menjalani hukuman tersebut, adakah dia sempat atau masih mampu bersifat takabur kepada banduan-banduan lain?. Dunia sebenarnya hanyalah sebuah penjara, dan tidakkah maksiat pula merupakan penyebab kepada segala hukuman?.

Mengenali Tuhan pula boleh didapati dengan merenung tanda tanda kekuasaan dan keagungan ciptaan-Nya. Dengan demikian, akan tergambarlah segala keagungan-Nya dan akan terserlahlah erti 'makrifah' yang sebenar. Inilah rawatan paling berkesan yang boleh membuang akar umbi sifat takabur.

Tawaduk (rendah diri) kepada Allah dan sesama manusia adalah rawatan amali yang praktikal kepada masalah takabur. Caranya ialah dengan mengamalkan akhlak mereka yang bersifat tawaduk. Terdahulu kita telah perkatakan berkenaan cara hidup, sifat tawaduk dan akhlak murni Rasulullah s.a.w..

Kedua:

Iaitu rawatan kepada sifat takabur kerana keturunan. Sesiapa yang dihinggapi perasaan takabur kerana keturunan yang diwarisi, hendaklah dia mengetahui bahawa sebenarnya dia sedang berbangga dengan kesempurnaan orang lain. Kemudian dia perlu merenung hakikat kejadian ayah dan datuknya. Ayahnya adalah berasal dari air mani yang jijik sedangkan datuknya telah kembali menjadi tanah. Bagaimana dia boleh bermegah dengan keturunannya dalam keadaan sebegini?.

Sesiapa yang sombong kerana kecantikan, dia perlu merenung dirinya dengan renungan orang yang berakal dan kannya. merenung sudut luaran sahaja sepertimana pandangan binatang.

Begitu juga orang yang bermegah dengan kekuatan yang dimilikinya. Dia hendaklah menyedari bahawa sekiranya ia menghidap suatu penyakit, dia akan merasa terlalu lemah. Walaupun hanya demam satu hari, ia akan melumpuhkan segala kekuatan yang dimilikinya dan kekuatan tersebut tidak akan diperolehi kembali dalam masa yang singkat. Jika kakinya tertusuk duri, ia pasti akan menjadi lemah atau seekor pepijat masuk ke dalam telinga, ia pasti menggusarkannya (tidak senang duduk).

Sesiapa yang takabur dengan kekayaan yang dimiliki, hendaklah dia renungi bahawa orang-orang yahudi adalah lebih kaya darinya. Celakalah sesuatu kemuliaan yang dimiliki dan didominasi oleh orang yahudi. Kekayaan boleh hilang sekelip mata di tangan pencuri, lalu dia (tuan punya harta itu) kembali menjadi hina.

Sesiapa yang takabur dengan ilmu yang dimiliki, dia hendaklah menyedari bahawa dakwaan (hujah) Allah ke atasnya adalah lebih teruk bahananya dari orang yang jahil. Dia hendaklah memikirkan bahaya besar yang dia sedang hadapinya. Di mana ia lebih merbahaya dari orang lain sebagaimana juga kedudukannya yang lebih tinggi berbanding orang lain.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment