Sunday, 26 September 2021

SIRI 126 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 24: Sifat Takabur Dan Ujub Yang Tercela

Tajuk Mudarasah: Bahagian Kedua: Sifat Ujub (Bangga Diri)

Halaman Rujukan Kitab : 409

Nota Mudarasah:

Bahagian Kedua: Sifat Ujub (Bangga Diri)

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

524 Riwayat al-Bukhari, (10/222) dan Muslim (2088).

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
Tiga perkara yang membinasakan: Kedekut yang diikuti, nafsu yang dituruti dan bangganya seseorang terhadap dirinya sendiri.⁵²⁵
525 Riwayat al-Bazzar (80), Uqaili (3/447), al-Qudhoie dalam Musnad Shihab (325) dan Abu Naim (2/343) daripada Anas r.a.. Ianya daif. Tetapi hadis ini dikuatkan dengan riwayat-riwayat yang lain iaitu riwayat daripada Abu Hurairah, Ibnu Abas, Umar r.a. dan lain-lain. Dengan itu ia menjadi sahih. Lihat Silsilah al-Ahadith as-Sahihah (1802).

Ibnu Mas'ud pernah berkata: Kebinasaan itu terletak pada dua perkara, iaitu bangga diri dan putus asa. Beliau menggabungkan dua sifat ini kerana kebahagiaan tidak mungkin dikecapi melainkan dengan berusaha dan mencarinya bersungguh-sungguh. Orang yang mempunyai sifat putus asa tidak akan berusaha, manakala orang yang berbangga terhadap diri sendiri pula akan sentiasa berpuas hati dengan apa yang ada dan tidak akan berusaha lagi.

Mutorrif r.hm. berkata: Lebih baik aku tidur malam dan bangun dalam keadaan kesal (kerana tidak bangun di malam hari) daripada aku bersembahyang malam lalu bangun keesokannya dalam keadaan bangga terhadap diri sendiri.

Sebenarnya sifat bangga dirilah yang membawa kepada sifat takabur, kerana bangga diri merupakan salah satu faktor takabur. Dari sifat bangga diri akan lahir sifat takabur dan dari sifat takabur akan melahirkan banyak keburukan yang lain. Ini semua adalah sifat ujub sesama makhluk.

Manakala sifap bangga diri dengan Tuhan pula boleh berlaku apabila seseorang merasa kagum terhadap segala amalan dan ketaatan yang dilakukan, seolah-olah dia telah membalas budi kepada Allah Taala dengan amalan yang dilakukannya. Dia lupa nikmat Allah yang telah memberi taufik kepadanya sehingga dia boleh melakukan ketaatan tersebut. Dia juga tidak dapat melihat kesan-kesan buruk perasaan bangga diri yang boleh membinasakan amalan ketaatannya sebelum ini.

Seorang yang prihatin terhadap bencana sesuatu amalan adalah orang yang bimbang amalannya akan ditolak, bukannya orang yang berpuas hati dan merasa kagum dengan amalannya itu.

Perasaan bangga diri ini berlaku apabila seseorang merasakan bahawa ilmu dan amalannya telah sempurna. Apabila berlaku sedemikian, dia merasakan bahawa Allah Taala sepatutnya memberikan satu 'petanda' kepadanya. Bangga diri ini berlaku apabila dia merasa hebat terhadap apa yang dibanggakan itu. Manakala 'petanda' yang diharapkan itu adalah untuk memastikan dia menerima balasan yang baik di sisi Allah. Contohnya seorang yang merasa kagum, akan yakin dengan pemakbulan doanya dan menolak kemungkinan ianya tidak dimakbulkan.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment