Saturday, 2 October 2021

SIRI 132 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Ghurur Yang Berlkau Di Kalangan Ulamak Dan Ahli Ulamak

Sub Tajuk: Golongan Pertama: Ulamak

Halaman Rujukan Kitab : 420

Nota Mudarasah:

Kedua: Mereka yang telah menguasai ilmu dan amalan yang zahir, tetapi tidak memeriksa hati-hati mereka dengan teliti dalam usaha membersihkannya daripada sifat-sifat tercela seperti takabur, dengki, riya', mengejar ketinggian dan kemasyhuran. Mereka hanya menghiaskan diri secara luaran tanpa menjaga dalaman. Mereka lupa kepada sabda Nabi s.a.w.:
إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa paras dan banyaknya harta yang kamu ada, tetapi Dia melihat kepada hati-hati dan perbuatan-perbuatan kamu.⁵³⁶
536 Riwayat Muslim (525), Ahmad (2/285), Ibnu Majah (4143) dan al-Baghawi (4150) daripada Abu Hurairah r.a..

Golongan ini tekun beramal tetapi tidak menjaga hati sedangkan hati adalah punca segala-galanya. Ini kerana, golongan yang akan selamat dari azab Allah pada hari kiamat ialah mereka yang datang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera. Bandingan kumpulan ini adalah seperti seorang lelaki yang menanam suatu tanaman yang tumbuh bersama lalang yang menjadi parasitnya. Dia disuruh mencabut lalang tersebut tetapi dia hanya memotong bahagian atas dan tepinya dengan meninggalkan akarnya. Akhirnya akar umbi lalang itu tetap kekal dan semakin kuat.

Ketiga: Mereka yang mengetahui bahawa sifat ini adalah penyakit hati yang tercela, tetapi disebabkan sifat ujub, mereka menyangka bahawa mereka bebas dari sifat tersebut bahkan menganggap bahawa mereka tidak akan diuji oleh Allah dengan ujian tersebut kerana mereka adalah golongan istimewa di sisi Allah Taala. Mereka menyangka, hanya orang awam sahaja yang akan diuji dengan sifat tersebut, bukannya orang berilmu seperti mereka.

Oleh sebab itu, apabila wujud perasaan takabur dan cintakan kedudukan dalam hati mereka, seorang dari mereka akan berkata: "Ini bukan takabur tetapi keinginan untuk memartabatkan agama, menzahirkan kelebihan ilmu dan menentang golongan bid'ah. Sekiranya aku memakai pakaian yang tidak seberapa dan duduk di majlis yang tidak dipandang orang, tentu musuh agama akan menghinaku. Mereka sudah tentu amat gembira jika dapat menghinaku. Hinanya aku bermakna hinalah Islam". Dia sebenarnya lupa maksud sebenar perkataan 'terpedaya' (ghurur). Semua kata-kata di atas merupakan pengaruh daripada iblis terhadap dirinya. Ini terbukti kerana Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya amat tawaduk dan mereka lebih selesa hidup dalam keadaan fakir dan miskin.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment