Monday, 4 October 2021

SIRI 134 MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Ghurur Yang Berlkau Di Kalangan Ulamak Dan Ahli Ulamak

Sub Tajuk: Golongan Pertama: Ulamak

Halaman Rujukan Kitab : 422

Nota Mudarasah:

Keempat: Mereka yang telah menguasai ilmu pengetahuan dan telah dapat membersih serta menghiaskan diri mereka dengan ketaatan. Mereka juga begitu teliti untuk membersihkan hati dari sifat-sifat riya', hasad dengki, takabur dan lain-lain. Tetapi jauh di sudut hati, masih terdapat godaan syaitan dan mainan jiwa yang masih tidak disedari dan mereka cuai untuk menyucikannya.

Oleh kerana itu, kamu dapati seseorang di kalangan mereka berjaga pada malam hari dan diwaktu siangnya gigih mengumpul ilmu, menyusun dan memperelokkan bahasanya. Dia melihat bahawa yang mendorongnya untuk berbuat demikian ialah keprihatinannya yang tinggi untuk memartabatkan agama Allah, sedangkan mungkin tujuan sebenarnya ialah agar dia sentiasa diingati dan menjadi masyhur serta dikenali ramai. Justeru, dalam karangan yang dia buat, mungkin dia akan memuji dirinya sama ada secara tersurat dengan ungkapan yang panjang lebar atau secara tersirat dengan mengkritik karangan orang lain untuk menunjukkan bahawa dia lebih baik dan lebih berilmu. Perkara ini dan seumpamanya adalah merupakan kecacatan-kecacatan hati yang sukar disedari melainkan golongan yang cerdik dan kuat jiwanya, bukannya orang yang lemah seperti kita. Namun begitu, setidak-tidaknya seseorang insan itu perlu mengetahui kecacatan yang ada pada dirinya dan berusaha untuk memperbaikinya.

Sesiapa yang merasa gembira kerana amalan kebaikannya dan berdukacita kerana memikirkan amalan kejahatannya, kedudukannya itu mempunyai harapan⁵³⁹. Sebaliknya orang yang sentiasa memuji diri dan mendakwa dialah yang terbaik, sebenarnya ini adalah sifat ghurur yang menimpa golongan yang sudah berjaya memperolehi ilmu-ilmu yang bermanfaat. Kalau itulah yang berlaku kepada golongan tersebut, maka bagaimana pula yang akan berlaku kepada golongan yang hanya berpada dengan ilmu yang tidak berguna dan meninggalkan ilmu-ilmu yang penting dan berguna kepada mereka?.
539 Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Apabila kebaikan kamu menggembirakan kamu dan kejahatan kamu mendukacitakan kamu, maka kamu adalah seorang yang beriman. Riwayat Abdul Razak (20104), Ahmad (5/251, 252, 256) dan lain-lain.

Di kalangan mereka ada yang hanya mementingkan ilmu ilmu fatwa yang berkait dengan hukum-hakam yang melibatkan pertikaian antara manusia⁵⁴⁰. Di samping mereka membincang secara terperinci berkenaan hubungan muamalat harian antara sesama manusia demi kepentingan hidup. Dalam keadaan sedemikian, mereka mungkin terleka untuk melaksanakan amalan-amalan yang zahir dan di waktu yang sama mereka melakukan beberapa perkara maksiat seperti mengumpat, melihat perkara-perkara yang haram dan pergi ke tempat yang ditegah. Mereka juga tidak menjaga hati mereka dari perasaan takabur, dengki, riya' dan semua perkara yang membinasakan. Sebenarnya, mereka ini telah terpedaya dari dua aspek iaitu aspek amalan dan ilmu.
540 Kitab al-mukhtasar cetakan Darul Faiha' dan Daru Ammar, Jordan menulis al-khususot. Manakala dalam cetakan Darul Hijrah, Beirut dan juga Kitab al-Ihya' cetakan Darul Fikr, Beirut menulis al-khusumat. Pada pendapat penterjemah, inilah yang betul. Sila rujuk-pent.

Keadaan mereka samalah seperti seorang pesakit yang mempelajari kaedah membancuh ubat. Dia sibuk mengulangkaji dan mengajarnya kepada pesakit-pesakit lain tetapi dia sendiri tidak memakan ubat. Bahkan bandingan mereka adalah seperti seorang yang mempunyai penyakit radang paru-paru yang menunggu saat kematiannya tetapi sibuk belajar tentang ubat untuk mengatasi masalah istihadhah'⁵⁴¹. Ini sifat terpedaya yang sangat dahsyat.
541 Iaitu darah penyakit yang menimpa sesetengah golongan perempuan-pent.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment