Tuesday, 5 October 2021

SIRI 135 MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Ghurur Yang Berlaku Di Kalangan Ulamak Dan Ahli Ulamak

Sub Tajuk: Golongan Pertama: Ulamak

Halaman Rujukan Kitab : 424

Nota Mudarasah:

Mereka terpedaya kerana mendengar nas-nas al-Quran dan hadis yang menyangjung tinggi ilmu al-fiqh, sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa maksud fekah di sini ialah memahami (figh) ilmu yang berkait dengan makrifatullah dan mengetahui sifat-sifat-Nya yang boleh menimbulkan rasa takut dan mengharap kepada-Nya, agar hatinya berasa takut dan sentiasa bertakwa.

Firman Allah Taala:
فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaum mereka (yang keluar berjuang) apabila orang orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
(At-Taubah: 122)

Ilmu yang boleh memberi peringatan kepada manusia bukanlah ilmu fiqh ini kerana ilmu fiqh mengajar manusia untuk menjaga harta dengan kaedah muamalat Islam dan juga untuk menjaga badan dengan harta yang ada serta mencegah dari berlakunya pembunuhan dan kecederaan. Harta merupakan alat di jalan Allah dan badan pula adalah tunggangannya.

Ilmu pengetahuan yang penting ialah mengetahui cara bagai mana mengatur langkah di atas jalan atau landasan yang diredai Allah dan menyucikan jiwa daripada sifat-sifat tercela yang menjadi penghalang antara seorang hamba dengan Allah Taala.

Bandingan orang yang hanya berpada dengan ilmu-ilmu fatwa sahaja adalah seumpama seorang yang belajar berkaitan haji, tetapi hanya belajar tentang cara-cara menjahit bekas air dan khuf untuk di bawa semasa mengerjakan ibadat haji. Tidak dinafikan bahawa bekalan ini adalah penting, tetapi ia tidak berkaitan langsung dengan ibadat tersebut.

Di antara golongan ini juga ada yang hanya mengambil berat berkenaan ilmu khilaf mazhab. Dengan itu, mereka hanya mempelajari cara atau kaedah-kaedah debat supaya hujah diterima dan cara bagaimana mematahkan hujah (menutup mulut) pihak lawan serta sanggup menolak kebenaran demi mencapai kemenangan. Keadaan golongan ini lebih teruk daripada semua golongan yang disebut sebelum ini. Semua perdebatan yang mendalam dalam bidang fekah adalah perkara bid'ah yang tidak dilakukan oleh golongan yang terdahulu (ulamak salaf).

Ini kerana dalil-dalil hukum yang menjadi rujukan sesuatu mazhab ialah kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.. Manakala ilmu-ilmu helah dalam berdebat sama ada cara mematahkan hujah atau mengubahnya (hujah lawan menjadi hujahnya) atau mengenal pasti istilah dan susunan hujah yang rosak atau ilmu kemahiran berpindah hujah (untuk mengelirukan pihak lawan), semuanya dicipta semata-mata untuk kemenangan dan kemantapan hujah.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment