Friday, 8 October 2021

SIRI 138 MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 25: Al-Ghurur (Terpedaya) Bahagian Dan Peringkatnya

Tajuk Mudarasah: Ghurur Yang Berlaku Di Kalangan Ulamak dan Ahli Ibadah

Sub Tajuk: Golongan Pertama: Ulamak

Halaman Rujukan Kitab : 427

Nota Mudarasah:

Contoh mendalami bab ini ialah seseorang yang menghabiskan umurnya hanya untuk membetulkan makhraj (tempat keluar) huruf al-Quran, tidak lebih dari itu. Golongan ini terpedaya kerana apa yang penting dari huruf-huruf tersebut adalah makna-maknanya. Huruf-huruf hanyalah penyambung dan alat sahaja.

Seorang yang perlu meminum ubat 'sakanjabin' (campuran cuka dan madu) untuk mengubati sakit kuning (sakit berkaitan hempedu), tetapi dia menghabiskan masanya dengan mengelokkan bekas ubat itu dan tidak meminumnya, orang ini jelas telah terpedaya. Orang yang bahagia dan berjaya ialah orang yang berusaha menceduk dari setiap ilmu sekadar keperluannya yang benar-benar penting dan tidak lebih dari itu. Kemudian dia terus beramal dengan bersungguh sungguh di samping membersihkannya daripada sebarang bentuk gangguan yang boleh merosakkan amalannya itu. Inilah yang sepatutnya dilakukan.

Ketujuh: Mereka yang mencipta berbagai tipu helah untuk mengelakkan diri dari menunaikan kawajipan dan tanggungjawab. Mereka merasakan tindakan tersebut memberi manfaat kepada mereka. Sedangkan mereka sebenarnya adalah golongan yang paling terpedaya. Apabila seseorang itu membuat helah yang menyebabkan isterinya terpaksa memberi pelepasan kepadanya dari kewajipan dan tangungjawab (sebagai suami), sebenarnya dia tidak akan terlepas sama sekali dari bertanggungjawab di hadapan Allah Taala.

Demikianlah juga seorang lelaki yang memberikan (hibahkan) hartanya kepada isterinya pada akhir tahun sejurus sebelum cukup haul dengan tujuan untuk menggugurkan kewajipan mengeluarkan zakat ke atas hartanya itu⁵⁴⁴. Kemudian dia meminta semula harta tersebut dari isterinya agar dikembalikan kepadanya. Begitulah juga dengan contoh-contoh helah yang lain.
544 Iaitu apabila sejumlah hartanya itu diberikan kepada isterinya sehingga tidak mencukupi nisabnya, terlepaslah dia daripada kewajipan zakat harta pada tahun tersebut-pent.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment