Tuesday, 12 October 2021

SIRI 142 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 25: Al-Ghurur (Terpedaya) Bahagian Dan Peringkatnya

Tajuk Mudarasah: Ghurur Yang Berlaku Di Kalangan Ulamak dan Ahli Ibadah

Sub Tajuk: Golongan Ketiga: Ahli Sufi

Halaman Rujukan Kitab : 432

Nota Mudarasah:

Golongan Ketiga: Ahli Sufi

Mereka yang terpedaya di kalangan ahli sufi terbahagi kepada beberapa golongan:

Pertama: Golongan yang tertipu dengan cara berpakaian, bercakap dan penampilan diri. Mereka ini pada zahirnya berlagak seperti ahli sufi yang sebenar, walhal mereka tidak berusaha pun untuk bermujahadah dan mendidik diri. Mereka ini berebut-rebut dalam mengambil dari hasil yang haram, syubhat dan harta-harta kurniaan para sultan. Sebahagian mereka begitu mudah untuk menjatuhkan maruah sebahagian yang lain jika berlaku perselisihan faham antara mereka berkenaan sesuatu matlamat dunia yang dicari. Sifat terpedaya golongan sebegini adalah terlalu jelas.

Bandingan mereka ini adalah seumpama seorang perempuan tua yang mendengar (warta negara) bahawa nama orang yang berani dan pahlawan akan dicatat dalam senarai pahlawan negara. Dan setiap orang dari mereka akan dihadiahkan sebidang tanah. Dia begitu teringin untuk mendapatkan habuan tersebut. Lalu dia pun memakai baju besi dan menyarungkan topi besi ke kepalanya. Seterusnya dia mempelajari dan menghafaz lagu-lagu semangat pahlawan, cara berpakaian dan seluruh tingkahlaku seorang pahlawan. Kemudian dia pergi ke pengkalan tentera, lalu ditulis namanya dalam senarai pahlawan berani yang akan bertarung.

Apabila sampai ke medan perbarisan, dia diperintahkan agar menanggalkan topi dan baju perangnya untuk diuji dengan cara bertarung satu lawan satu. Apabila dibuka, jelaslah siapa dirinya yang sebenar; hanya seorang perempuan yang lemah dan sakit tua. Lalu dikatakan kepadanya: "Kamu ini telah menghina raja dan ahli majlisnya. Tangkap dia dan campakkannya di depan gajah". Lalu dia dicampakkan ke tempat tersebut.

Demikianlah keadaan orang yang mendakwa sebagai ahli sufi apabila pecah tembelang mereka pada hari kiamat kelak. Mereka akan dihadapkan ke hadrat Allah Taala, Hakim yang Maha Besar, yang sememangnya melihat pada hati, bukannya pada pakaian compang camping dan gaya berpakaian seseorang.

Kedua: Mereka yang mendakwa sudah di lengkapi dengan ilmu makrifat, dapat melihat kebenaran, melepasi maqam-maqam tertentu dan telah sampai ke tahap yang hampir dengan Allah Taala. Sedangkan mereka tidak mengetahui semua itu kecuali hanya pandai menyebut beberapa istilah sahaja. Oleh itu, kamu dapati seseorang di kalangan mereka mengulang-ulang istilah tersebut dan menyangka bahawa dia telah mengatasi ilmu orang terdahulu dan yang kemudian. Dia memandang hina kepada para fuqaha', ahli-ahli hadis dan para ulama lebih-lebih lagi kepada orang awam. Keadaan ini berlaku sehingga terdapat sebahagian orang awam yang terpengaruh sanggup mendampingi golongan sufi ini dan menerima ungkapan-ungkapan palsu mereka itu lalu mengulang-ulangnya seolah-olah apa yang diperolehi itu adalah wahyu.

Orang awam ini juga turut terpengaruh menghina para ulama dan ahli ibadat dengan berkata: Mereka adalah orang yang terhalang dari Allah Taala sedangkan dialah (ahli sufi ini) yang telah sampai kepada kebenaran dan termasuk di kalangan mereka yang hampir dengan Allah Taala. Sedangkan dia sebenarnya merupakan orang jahat dan munafik di sisi Allah serta orang yang dungu dan bodoh di sisi ulamak yang tahu berkenaan hati. Dia tidak memiliki ilmu yang mantap, tidak mendidik akhlak yang mulia dan tidak mengawasi hatinya dari menuruti hawa nafsu serta memperkatakan sesuatu yang sia-sia.

Ketiga: Mereka yang mengenepikan hukum syarak. Mereka menolak segala hukum-hakam dan menyamakan antara perkara halal dan haram. Sebahagian mereka mengatakan: "Allah tidak berhajatpun kepada amalanku, oleh itu kenapa aku perlu berpenat lelah beribadat kepada-Nya."

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment