Thursday, 14 October 2021

SIRI 144 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 25: Al-Ghurur (Terpedaya) Bahagian Dan Peringkatnya

Tajuk Mudarasah: Ghurur Yang Berlaku Di Kalangan Ulamak dan Ahli Ibadah

Sub Tajuk: Golongan Keempat: Hartawan/Korporat

Halaman Rujukan Kitab : 435

Nota Mudarasah:

Golongan Keempat: Hartawan/Korporat

Mereka terdiri daripada beberapa golongan iaitu:

Pertama: Golongan yang bersungguh-sungguh membiayai pembinaan masjid, sekolah-sekolah, pondok-pondok, jambatan jambatan dan apa yang boleh dilihat dengan mata kasar manusia. Kemudian mereka mencatat nama mereka pada bangunan atau binaan yang didirikan agar sentiasa diingati dan kesan daripada jasa mereka itu terus kekal walaupun selepas mereka mati. Jika seseorang daripada mereka diminta supaya menderma tanpa dicatat namanya pada tempat-tempat yang didermakan itu, dia akan merasa keberatan. Seandainya dia mengharapkan keredaan Allah semata mata dan bukan sanjungan orang ramai, nescaya dia tidak akan merasa demikian. Allah Taala Maha Mengetahui setiap amalannya sama ada namanya ada tercatat ataupun tidak.

Di kalangan mereka, ada yang sanggup menghabiskan harta untuk mengindahkan masjid dan menghiaskannya dengan ukiran ukiran yang dilarang kerana mengganggu tumpuan orang yang bersembahyang. Tujuan dari sembahyang seseorang ialah khusyuk dan hadir hatinya sedangkan hiasan-hiasan tersebut mengganggu hati dan tumpuannya. Seandainya harta yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut adalah daripada hasil yang haram, mereka ini lebih terperdaya.

Malik bin Dinar pernah berkata: Seorang lelaki datang ke masjid dan berhenti di pintunya lalu berkata: "Orang yang seperti aku sebenarnya tidak layak memasuki rumah Allah". Lalu nama nya dicatat sebagai orang yang benar imannya'. Lelaki tersebut merasakan bahawa begitulah sepatutnya masjid dimuliakan. Dia melihat kedatangannya ke masjid itu adalah pencemaran kepada kesucian masjid dan ianya seolah-olah satu jenayah yang dilakukannya. Dia tidak melihat pencemaran masjid itu berlaku dengan perkara-perkara haram atau perhiasan-perhiasan dunia. Di sini lelaki itu telah terpedaya kerana dia menjadikan perkara mungkar sebagai suatu perkara baik.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment