Friday, 15 October 2021

SIRI 145 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 25: Al-Ghurur (Terpedaya) Bahagian Dan Peringkatnya

Tajuk Mudarasah: Ghurur Yang Berlaku Di Kalangan Ulamak dan Ahli Ibadah

Sub Tajuk: Golongan Keempat: Hartawan/Korporat

Halaman Rujukan Kitab : 436

Nota Mudarasah:

Kedua: Golongan yang menyimpan hartanya kerana bakhil. Dia memenuhkan masanya dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang tidak memerlukan perbelanjaan harta seperti puasa, sembahyang dan khatam al-Quran. Mereka juga sebenarnya adalah golongan yang terperdaya, kerana sifat bakhil adalah satu sifat yang membinasakan dan ia telah menguasai hati mereka. Mereka sepatutnya membuang sifat ini dengan cara membelanjakan harta mereka, tetapi mereka asyik menyibukkan diri dengan mengamalkan ibadat-ibadat tertentu yang tidak diwajibkan ke atas mereka.

Keadaan mereka ini tidak ubah seperti seorang yang dimasuki seekor ular ke dalam bajunya. Dia tidak melakukan sebarang usaha untuk mengeluarkan ular tersebut dari bajunya sebaliknya sibuk memasak ubat campuran cuka dan madu untuk mengubati penyakit demam kuning. Apa gunanya ubat itu sekiranya dia mati akibat ular tersebut.

Di kalangan mereka ada yang hanya mengeluarkan zakat tetapi memilih untuk mengeluarkan hartanya yang paling buruk sebagai zakatnya. Apabila dia menunaikan zakat, dia akan memberikannya kepada orang fakir yang berkhidmat dengannya yang sentiasa berulang-alik kerana memenuhi segala hajat dan keperluannya. Atau diberikan kepada orang yang diperlukan khidmatnya pada masa akan datang atau orang yang dia mempunyai kepentingan terhadapnya.

Di kalangan mereka juga ada yang menyerahkan zakatnya itu kepada orang kenamaan untuk diagih-agihkan. Tujuan dia berbuat demikian ialah supaya dia mendapat tempat di hati orang yang ternama agar segala keperluannya akan dapat ditunaikan pada masa akan datang. Semua itu akan merosakkan niatnya dan dia termasuk di kalangan orang yang terpedaya. Ini kerana dia beribadat kepada Allah dengan mengharapkan pulangannya dari orang lain.

Ketiga: Golongan hartawan dan korporat yang terpedaya dengan menghadiri majlis-majlis zikir. Mereka menyangka dengan kehadiran itu sudah mengeukupi di mana mereka tidak perlu lagi beramal atau mengambil pengiktibaran. Sebenarnya tidak, kerana kelebihan majlis zikir adalah kerana ia menggalakkan seseorang melakukan kebaikan tetapi jika kebaikan yang diharapkan itu tidak berhasil, maka ia tiada gunanya. Mungkin dalam majlis tersebut, dia mendengar suatu nasihat atau peringatan yang menakutkan tetapi dia hanya menyebut: "Wahai Tuhan Yang Maha Menyelamatkan, selamatkanlah atau dia berkata: Aku berlindung dengan Allah". Dia menyangka ucapan yang sedemikian sudah memadai tanpa ada usaha lain.

Sikap ini samalah seperti seorang pesakit yang bertemu doktor dan mendengar apa jenis sakitnya lalu dia pergi. Atau seperti seorang yang lapar bertemu dengan orang yang bercerita berkenaan makanan yang lazat-lazat kemudian dia beredar. Itu semua tidak akan memberi apa-apa makna kepadanya. Samalah dengan mendengar resipi ketaatan tetapi tidak beramal dengannya. Setiap nasihat yang tidak merubah sifat dan perbuatan kamu, ia kelak akan menjadi hujah (mendakwa) ke atas kamu.

Jika dikatakan: Segala ciri ghurur yang disebutkan di atas merupakan perkara yang hampir tidak dapat dihindarkan.

Jawabnya: Sesungguhnya jalan menuju akhirat hanyalah satu iaitu dengan cara membetulkan hati. Ia tidak akan mampu dilakukan oleh orang yang mempunyai niat yang salah. Seseorang yang prihatin kepada akhirat sepertimana keprihatinannya kepada masalah dunia, pasti akan mendapat kebahagiaan di akhirat. Perkara ini telah dilakukan oleh para salafussoleh dan orang yang mengikut jejak langkah mereka dengan baik.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment