Friday, 22 October 2021

SIRI 152 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Jenis-Jenis Dosa

Halaman Rujukan Kitab : 448

Nota Mudarasah:

Seterusnya dosa terbahagi kepada dosa kecil dan dosa besar.

Para ulamak berselisih pendapat dalam memperkatakan perkara ini. Hadis-hadis juga berbeza dalam meriwayatkan bilangan dosa dosa besar. Terdapat lima hadis sahih dalam memperkatakannya:

i. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا هُنَّ؟ قَاَل: الشِّرْكُ بِاللهِ، وَالسِّخْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ
Jauhilah kamu tujuh dosa-dosa besar yang membinasakan!. Lalu para sahabat bertanya: Apakah dia wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh seseorang yang diharamkan (membunuhnya) melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang baik berzina.⁵⁵⁵
555 Riwayat al-Bukhari (5/294), Muslim (89), Abu Daud (2874) dan an-Nasaie (6/257).

ii. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud r.a.:
سَأَلْتُ النَّبِيَّ ﷺ أَىُّ الذَّنْبِ أَكْبَرُ؟ قَالَ: أَنْ تَجْعَلَ ِللهِ نِدَّا وَهُوَ خَلَقَكَ. قَالَ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ خَشْيَةَ أَنْ يَطْعَمَ مَعَكَ قَالَ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: أَنْ تُزَانِيَ بِحَلِيلَةَ جَارِكَ
Bahawa Nabi s.a.w. telah ditanya berkenaan dosa-dosa besar, lalu baginda bersabda: Kamu menjadikan sekutu bagi Allah, sedangkan Dialah yang menciptakan kamu. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Sabda Nabi: Kamu membunuh anak kamu kerana bimbang berkongsi makan denganmu (lalu makanan tidak mencukupi). Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi?. Sabda Nabi: Kamu berzina dengan isteri jiran kamu.⁵⁵⁶
556 Riwayat al-Bukhari (8/124), Muslim (86), at-Tirmizi (3181 & 3182), an Nasaie (7/89) dan Abu Daud (2310).

iii. Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
الكَبَائِرُ : الإشْرَاكُ بالله ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ
Dosa-dosa besar itu ialah syirik kepada Allah dan menderhaka kepada kedua ibu bapa.⁵⁵⁷
557 Riwayat al-Bukhari (11/483), at-Tirmizi (3024) dan an-Nasaie (7/89).

Keempat: Sabda Rasulullah s.a.w.:
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ؟ قَوْلُ الزُّورِ - أَوْ قَالَ - شَهَادَةُ الزُّور
Mahukah aku ceritakan kepada kamu berkaitan dosa yang paling besar?: Iaitu kata-kata palsu - atau baginda bersabda: Saksi palsu.⁵⁵⁸
558 Riwayat al-Bukhari (5/182), Muslim (88) dari hadis Anas r.a..

Hadis yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah bahawa apabila Nabi s.a.w. ditanya tentang dosa-dosa besar, baginda bersabda:
الإِشْرَاكُ بِاللهِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ. وَكَانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَقَالَ: أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّور فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا حَتَّى قُلْنَا لَيْتَهُ سَكَتَ
Syirik kepada Allah dan menderhakai kedua ibubapa. Nabi berkata demikian dalam keadaan berteleku. Kemudian baginda duduk lalu menyambung sabdanya: Ketahuilah bahawa dosa besar itu juga ialah kata-kata palsu dan saksi palsu. Baginda terus-menerus mengulanginya sehingga kami berharap agar baginda berhenti mengulanginya.⁵⁵⁹
559 Riwayat al-Bukhari (5/193), Muslim (87) dan at-Tirmizi (2302).

Para ulamak berselisih pendapat mengenai dosa-dosa besar. Hadis hadis yang memperkatakan tentangnya tidak menunjukkan bahawa hanya itu sahaja dosa-dosa besar. Boleh jadi Allah dan Rasul-Nya tidak menjelaskannya agar manusia sentiasa berwaspada dari terjerumus ke dalam perbuatan dosa. Namun begitu dari hadis-hadis tersebut, dapat diketahui jenis-jenis dosa besar dan dosa yang paling besar.

Berkenaan dosa yang paling kecil pula, tidak ada cara untuk mengenalinya. Para ulamak telah banyak memperkatakan tentang bilangan dosa-dosa besar. Ibnu Mas'ud r.a. mengatakan bahawa dosa-dosa besar itu empat perkara.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment