Sunday, 24 October 2021

SIRI 154 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Perbezaan Kedudukan di Akhirat Berdasarkan Baik Buruknya Amalan di Dunia

Halaman Rujukan Kitab : 451

Nota Mudarasah:

Perbezaan Kedudukan di Akhirat Berdasarkan Baik Buruknya Amalan di Dunia

Ketahuilah bahawa kedudukan manusia berbeza di akhirat sebagaimana ia berbeza di dunia. Mereka terbahagi kepada empat golongan iaitu:

i. Mereka yang binasa.

ii. Mereka yang diseksa.

iii. Mereka yang selamat (al-Naajin)

iv. Mereka yang berjaya (al-Faaizin)

Contohnya: Seorang raja yang berjaya menawan sebuah wilayah, lalu dia membunuh sekumpulan penduduknya dan menyeksa sekumpulan yang lain tetapi tidak membunuhnya. Sekumpulan penduduknya lagi telah dilepaskan dan merekalah orang yang selamat. Manakala sekumpulan yang lain diberikan kurnia dan merekalah orang yang berjaya. Itulah fenomena yang sering berlaku dalam situasi ini.

Namun begitu, sekiranya raja itu seorang yang adil, baginda akan bertindak secara adil berdasarkan hak-hak mereka. Hukuman bunuh hanya dijatuhkan ke atas mereka yang memberontak kerana ingin merampas takhta baginda. Penyiksaan pula hanya dilakukan kepada orang yang cuai berkhidmat walaupun mereka mengakui kesultanannya. Baginda pula akan membebaskan orang yang mengakui kesultanannya dan tidak cuai dalam perkhidmatan. Dan akhirnya baginda akan memberikan kurniaan kepada orang yang cemerlang ketika berkhidmat dan bermati-matian menolong baginda. Kedudukan setiap kumpulan ini berbeza sama ada baik ataupun buruk berdasarkan situasi keadaan mereka.

Begitulah juga hal keadaan manusia di akhirat. Terdapat riwayat yang memperkuatkan perkara ini iaitu hadis yang menceritakan bahawa ada di kalangan manusia yang melalui titian 'al-sirat' pantas seperti kilat⁵⁶⁰. Ada di kalangan mereka yang kekal di dalam neraka selama tujuh ribu tahun⁵⁶¹. Perbezaan antara sedetik dengan tujuh ribu tahun adalah terlalu besar.
560 Riwayat al-Bukhari (7439) dan Muslim (302) daripada Abi Said r.a..
561 Al-Hafiz al-Iraqi berkata dalam kitab al-Mughni (4/24): Hadis riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim dalam kitab Nawadir al-Usul dari hadis Abu Hurairah r.a. dengan sanad yang lemah.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment