Monday, 25 October 2021

SIRI 155 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Perbezaan Kedudukan di Akhirat Berdasarkan Baik Buruknya Amalan di Dunia

Halaman Rujukan Kitab : 452

Nota Mudarasah:

Sebenarnya, tahap kemuncak kepedihan azab tiada noktah penghujungnya. Manakala tahap azab yang paling ringan ialah perbicaraan yang dilakukan secara teliti. Sebagaimana seorang raja yang kadang-kadang menghukum orang yang cuai dengan soal selidik dan perbicaraan yang teliti sebelum memaafkannya. Mungkin juga dia akan disebat atau dikenakan pelbagai hukuman yang lain. Bagitu juga perbezaan tahap kenikmatan yang diberikan kepada mereka yang berjaya. Semua ini merupakan prinsip-prinsip asas yang diketahui melalui nas (al-Quran dan hadis) dan cahaya makrifah.

Secara jelasnya, seseorang yang mempunyai pegangan keimanan yang teguh, menjauhi semua dosa besar, melakukan perkara-perkara fardu dengan baik dan hanya melakukan beberapa dosa kecil yang tidak dikekalinya, kemungkinan besar dia akan diampunkan oleh Allah Taala. Ini kerana al-Quran telah menjelaskan bahawa sesiapa yang menjauhi dosa-dosa besar, dosa kecilnya akan terhapus. Mereka ini sama ada tergolong dalam golongan muqarrabin (mereka yang hampir dengan Allah Taala) atau ashabul yamin (golongan kanan). Semua ini berdasarkan kepada tahap keimanan dan keyakinannya. Jika imannya lemah, rendahlah martabatnya dan jika sebaliknya maka tinggilah martabatnya.

Golongan muqarrabin ini pula berbeza martabatnya berdasarkan tahap makrifatnya kepada Allah Taala. Sebenarnya kedudukan seseorang yang mengenali Allah Taala adalah tidak terbatas kerana lautan makrifat tiada tepiannya dan orang yang menyelaminya akan menyelam berdasarkan kemampuan masing-masing. Martabat yang paling tinggi dikalangan ashabul yamin merupakan martabat yang paling rendah di kalangan muqarrabin. Inilah keadaan mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan mengerjakan amalan fardu.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment