Tuesday, 26 October 2021

SIRI 156 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Perbezaan Kedudukan di Akhirat Berdasarkan Baik Buruknya Amalan di Dunia

Halaman Rujukan Kitab : 452

Nota Mudarasah:

Bagi orang yang melakukan dosa besar atau mengabaikan rukun-rukun Islam, sekiranya sempat bertaubat nasuha sebelum ajalnya, dia akan tergolong di kalangan mereka yang tidak melakukan dosa. Ini kerana orang yang bertaubat dari dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa. Pakaian yang telah dibasuh bersih akan tampak seperti tidak pernah dikotori.

Seandainya dia mati sebelum sempat bertaubat, keadaannya amatlah bahaya. Mungkin matinya dalam keadaan berterusan melakukan dosa disebabkan keimanannya yang goyah, lalu dia mati dalam kesudahan yang buruk (Suul-Khatimah). Apatah lagi sekiranya keimanannya hanya secara taqlid (mengikut secara membuta tuli sahaja) di mana setiap masa dia terdedah kepada penyelewengan walaupun dengan sebab sedikit perasaan syak dan khayalan. Orang yang mengenali dan yakin terhadap Allah tentunya jauh dari kesudahan sebegini.

Azab siksa yang dikenakan ke atas orang yang mati tanpa bertaubat, juga berdasarkan tahap keburukan dosanya dan selama mana dia meneruskan perbuatan dosa tersebut. Orang yang beriman secara taqlid, akan mendiami satu peringkat di syurga manakala orang yang mengetahui ('arifin) dan dapat melihat dengan pandangan hati akan berada di peringkat yang tertinggi di dalam syurga.

Perbincangan berkenaan kedudukan dan martabat seseorang ketika pembalasan di hari akhirat ini adalah berdasarkan sebab sebab yang zahir sahaja. Sama seperti seorang doktor yang memberitahu bahawa seseorang pesakitnya itu sudah tidak dapat dirawati lagi dan akan mati sedangkan kepada pesakit lain dia memberitahunya bahawa keadaannya tidak serius dan proses rawatannya agak mudah.

Semua itu berdasarkan sangkaannya yang pada kebiasaannya adalah tepat. Namun begitu, mungkin orang yang hampir mati (mengikut sangkaannya itu) akan kembali sihat sedangkan orang yang disangka tidak serius sakitnya itu terlebih dahulu menemui ajal tanpa diduga. Semua ini adalah rahsia Allah yang tersembunyi dalam Ilmu-Nya. Urusan mengenai roh orang yang hidup merupakan satu perkara yang disembunyikan dari pengetahuan manusia kerana beberapa asbab (sebab-sebab) yang telah ditentukan oleh Allah, Pencipta segala sebab dan musabbab. Di mana kekuatan pemikiran manusia tidak akan mampu mengetahui hakikatnya.

Begitu juga dengan kejayaan dan kebinasaan di akhirat. Kedua-duanya mempunyai asbab yang tersembunyi yang tidak dapat diketahui oleh manusia. Demikian juga seorang yang banyak melakukan maksiat, di mana dosanya harus diampunkan oleh Allah Taala. Begitu juga seorang yang banyak melakukan ketaatan pada zahirnya, harus dimurkai oleh Allah Taala. Semuanya bergantung kepada taqwa. Taqwa letaknya di hati. Hal-hal yang berkaitan dengan hati tidak diketahui oleh tuannya sendiri, bagaimana pula orang lain boleh mengetahuinya?.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment