Wednesday, 27 October 2021

SIRI 157 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Perbezaan Kedudukan di Akhirat Berdasarkan Baik Buruknya Amalan di Dunia

Halaman Rujukan Kitab : 453

Nota Mudarasah:

Golongan ketiga ialah orang yang selamat. Maksud selamat di sini ialah terlepas dan terselamat sahaja bukan bermaksud mendapat kegembiraan dan kejayaan. Mereka bukanlah golongan yang berkhidmat sehingga melayakkan mereka mendapat kemuliaan atau apa-apa ganjaran. Mereka pula tidaklah cuai sehingga layak diseksa. Keadaan mereka sama seperti keadaan orang gila atau anak-anak orang kafir dan mereka yang tidak sampai seruan dakwah. Mereka tidak mempunyai pengetahuan tetapi tidak pula menentang. Mereka juga tidak taat tetapi tidak pula menderhaka. Mereka akan ditempatkan di al-A'raf.⁵⁶²
562 Iaitu benteng yang terletak antara syurga dan neraka bagi memisahkan antara penghuni kedua-duanya. Antara golongan yang ditempatkan di situ ialah orang yang timbangan amal kebaikannya sama berat dengan kejahatannya. Mereka terus tinggal di situ sehinggalah Allah memutuskan kedudukan mereka sama ada mereka ke syurga atau ke neraka. Lihat Sofwatu Tafasir oleh Mohd Ali as-Sobuni, ketika mentafsirkan surah al-A'raf -pent.

Golongan yang berjaya dan beruntung pula ialah orang yang mengenali Allah iaitu mereka yang hampir dengan-Nya (muqarrabun) dan golongan yang bersegera atau berlumba-lumba melakukan kebajikan (as-Saabiqun). Mereka tidak mengetahui tentang ganjaran yang disediakan untuk mereka. Tumpuan utama mereka bukanlah kepada syurga tetapi mereka hanya mengharap untuk bertemu dengan Allah Taala dan melihat wajah-Nya.

Keadaan mereka ini seumpama seorang yang asyik bercinta. Mereka yang bercinta akan lupa tentang dirinya dan segala kesukaran yang dialaminya. Yang penting baginya hanyalah kekasihnya. Mereka ini telah sampai ke peringkat ketenangan hati yang tidak pernah terlintas di benak fikiran manusia. Semua yang disebutkan ini sudah memadai untuk menjelaskan pembahagian kedudukan terhadap segala kebaikan yang dilakukan.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment