Thursday, 28 October 2021

SIRI 158 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Sebab-sebab Dosa Kecil Menjadi Besar

Halaman Rujukan Kitab : 454

Nota Mudarasah:

Sebab-sebab Dosa Kecil Menjadi Besar

Dosa-dosa kecil akan menjadi besar kerana beberapa sebab. Antaranya ialah:

i. Berterusan melakukan dosa kecil.

Dalam sebuah hadis, Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Tidak menjadi dosa kecil (akan menjadi dosa besar) jika ia dilakukan secara berterusan dan tiada lagi dosa besar jika dia memohon keampunan.⁵⁶³
563 As-Sakhawi menyebutnya dalam kitab al-Maqasid (m.s 467). Az-Zarqani dalam kitab Mukhtasarnya (m.s:307)- berkata bahawa ianya daif. Demikianlah juga pendapat as-Samhudi dalam kitab al-Ghimaz (m.s. 155). Dan lihat juga Kasyful Khafa' (2/346) dan Tamayiiz at-Toyyib Minal Khabith (193) dan Asnal Matolib (250).

Dosa besar yang dilakukan oleh seseorang tanpa diikuti dengan dosa besar yang lain, lebih terjamin untuk mendapat keampunan daripada Allah Taala, berbanding dosa kecil yang dilakukan secara berterusan. Perumpamaannya ialah seperti titisan air yang menimpa seketul batu secara berterusan. Lama kelamaan ia akan memberi kesan terhadap batu tersebut. Ini berbeza jika titisan-titisan air itu dihimpunkan sekaligus dan disimbah ke atas batu tersebut dengan sekali simbahan sahaja. Sudah tentu ia tidak akan memberi kesan kepadanya. Kerana itulah, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan, walaupun sedikit.⁵⁶⁴
564 Riwayat al-Bukhari (1/109), Muslim (782), Abu Daud (1/310) dan an-Nasaie (3/218) daripada Aisyah r.ha. dengan lafaz yang hampir sama.

ii. Memandang remeh terhadap dosa kecil.

Jika seseorang hamba memandang berat terhadap sesuatu dosa, ia menjadi kecil di sisi Allah Taala tetapi jika dia memandang remeh terhadapnya, ia menjadi besar di sisi Allah Taala. Ini kerana perasaaan memandang berat terhadap sesuatu dosa adalah lahir dari hati yang merasa jijik dan benci kepadanya.

Ibnu Mas'ud r.a. berkata:
Orang yang beriman akan melihat dosa-dosa yang dilakukannya seolah-olah dia sedang berada di kaki sebuah bukit yang dibimbangi akan menghempapnya pada bila-bila masa. Tetapi seseorang yang jahat akan melihat dosanya seperti seekor lalat yang hinggap dihidungnya lalu dia menghalaunya sebegini (sambil beliau menunjukkan cara menghalau lalat).

Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam as-Sahihain.

Sesuatu dosa menjadi besar di hati seorang mukmin kerana dia mengetahui keagungan Allah Taala. Apabila dia dapat menilai keagungan Tuhan yang dia derhakainya itu, pasti dia merasakan dosa kecil yang dilakukannya itu seolah-olah suatu dosa besar. Dalam Sahih al-Bukhari, terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. katanya:
إِنَّكُمْ لَتَعْمَلُونَ أَعْمَالاً هِيَ أَدَقُّ فِي أَعْيُنِكُمْ مِنَ الشَّعَرِ، إِنْ كُنَّا نَعُدُّهَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ ﷺ الْمُوبِقَاتِ
Sesungguhnya kamu sedang melakukan perbuatan perbuatan dosa yang kamu anggap lebih halus daripada seurat rambut sedangkan kami pada zaman Rasulullah s.a.w. dahulu menganggapnya sebagai dosa-dosa besar yang membinasakan.
Bilal bin Saad r.hm. berkata: Jangan kamu melihat kepada kecilnya dosa yang dilakukan, tetapi lihatlah kepada siapa yang engkau telah derhakai (Allah Yang Maha Agung).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment