Wednesday, 17 November 2021

SIRI 179 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL-QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Sabar
Sub Tajuk: Penawar Sabar Bahagian 4 (Meraih Jazbah Ilahiyyah)

Halaman Rujukan Kitab : 487

Mudarasah bermula pada minit ke 0:00

Nota Mudarasah:

Namun demikian, kadar hasil yang diperolehi melalui usaha dan amalannya itu adalah seperti nelayan yang menangkap ikan. Semuanya bergantung kepada rezekinya. Kadangk usahanya sedikit tetapi hasil tangkapannya banyak. Adakalanya pula dia berusaha bersungguh-sungguh tetapi sedikit pula hasil tangkapannya. Tempat bergantung harapan di sebalik segala usaha yang dilakukan itu ialah kepada jazbah¹ kurniaan Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya jazbah tersebut sentiasa mengiringi amalan-amalan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya sama ada di kalangan manusia atau jin. Itu semua (menghasilkan jazbah) tidak termasuk dalam ikhtiar hamba (kerana ia adalah kurniaan Allah). Bahkan ikhtiar hamba hanyalah menyediakan dirinya agar terdedah kepada jazbah tersebut dengan cara mencabut semua tarikan dunia dari hatinya. Kerana orang yang tertarik kepada tarikan duniawi yang rendah tidak akan ditarik sekali-kali ke peringkat yang paling tinggi (tarikan rabbani).

Setiap orang yang gemar dan rakus kepada dunia, dialah yang akan tertarik kepadanya. Oleh sebab itulah, hubungan dengan tarikan duniawi ini perlu diputuskan. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud:

Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hembusan-hembusan rahmat-Nya dalam kehidupan seharian kamu. Oleh sebab itu hendaklah kamu mendedahkan diri kamu kepadanya (agar dapat menikmati hembusan-hembusan rahmat-Nya itu).²

Kita perlu mengosongkan tempat jazbah (hati) dan bersedia menunggu kerahmatan yang akan turun. Seperti seorang peneroka tanah yang menebas dan membersihkan lalang di kawasan tanahnya. Kemudian dia menanam benih tanaman di situ. Segala usahanya itu tidak akan memberikan manfaat melainkan dengan turunnya hujan. Dia pula tidak mengetahui bilakah Allah akan menurunkan hujan, tetapi dia percaya kepada nikmat Allah bahawa dalam setahun pasti akan turun hujan, walaupun sekali. Begitulah juga dengan kurniaan dan hembusan-hembusan rahmat dari Allah Taala. Ia tidak pernah terputus atau sunyi sama ada dalam masa setahun, sebulan atau sehari.

Seseorang hamba hendaklah lebih dahulu membersihkan hatinya dari kotoran nafsu serta menyemai di dalamnya benih iradah (kemahuan) dan ikhlas serta mendedahkannya kepada tiupan angin rahmat. Sebagaimana penantian kepada hujan menjadi semakin kuat pada musim bunga ketika wujudnya awan yang tebal dan cuaca yang mendung, demikianlah juga dia perlu bersabar menanti hembusan-hembusan rahmat dari Allah Taala pada waktu waktu yang mulia, iaitu ketika semangat dan kesungguhan manusia bersatu seperti di hari Arafah, hari Jumaat dan hari-hari dalam bulan Ramadhan. Keazaman yang berkobar-kobar dan nafas yang turun naik merupakan penyebab turunnya rahmat Allah dengan kebijaksanaan dan ketentuan-Nya.

__________________________________________________
1 Tarikan rabbani yang membimbingnya ke arah kebaikan.
2 Riwayat at-Tobrani dari hadis Muhammad bin Maslamah. Pada sanadnya terdapat perawi yang tidak dikenali.

__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment