Saturday, 1 January 2022

SIRI 223 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 29: Fakir Dan Zuhud

Tajuk Mudarasah: Menilai Fakir Dan Kaya

Halaman Rujukan Kitab : 561

Nota Mudarasah:

Terdapat juga orang kaya yang mana kekayaannya tidak menghalangnya dari mengingati Allah Taala seperti Nabi Sulaiman a.s., Othman bin Affan r.a. dan Abdul Rahman bin Auf r.a.. Sebaliknya berapa ramai orang miskin yang kemiskinannya itu telah mengganggu dan memalingnya dari maksud sebenar iaitu ingat dan cintakan Allah Taala. Pengganggunya yang sebenar ialah perasaan cintakan dunia.

Ini kerana cinta kepada Allah tidak akan terhimpun bersama cintakan dunia. Sesungguhnya orang yang cintakan sesuatu, dia akan menumpukan sepenuh perhatian kepadanya, sama ada yang dicintai itu ada bersamanya ataupun tidak. Bahkan ketika sesuatu yang disukai itu tiada di sisinya, tumpuan dan kerinduannya akan lebih memuncak.

Dunia adalah perkara yang mengasyikkan orang yang lalai. Orang yang ketiadaannya akan sibuk mencarinya, manakala orang yang memilikinya pula akan sibuk menjaganya dan seronok menikmatinya. Jika kamu lihat dari aspek mana yang lebih banyak mudarat maka orang fakir sebenarnya adalah lebih selamat kerana fitnah kesenangan lebih hebat daripada fitnah kesusahan. Demi menjaga diri, adalah lebih baik jika kamu tidak mempunyai harta.

Oleh kerana tabiat manusia sebegini kecuali segelintir sahaja (yang mampu berhadapan dengan fitnah kekayaan), syarak datang dalam keadaan mencela kekayaan dan melebihkan kefakiran. Perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan fakir telah kami nyatakan sebelum ini.

Antara dalilnya lagi ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abas r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

Dua orang mukmin bertemu di hadapan pintu syurga, di mana seorang dari mereka kaya dan seorang lagi fakir ketika di dunia. Kemudian Allah memasukkan orang fakir itu ke dalam syurga dan menahan orang kaya itu beberapa lama yang dikehendaki Allah. Kemudian orang kaya itu dimasukkan ke dalam syurga. Lalu si fakir tadi datang menemuinya dan bertanya: Wahai saudaraku, apakah yang telah menyebabkan kamu ditahan? Demi Allah aku merasa bimbang dengan lamanya masa kamu ditahan itu. Si kaya itu menjawab: Wahai saudaraku, selepas kamu pergi, aku ditahan dengan penahanan yang amat teruk dan amat dibenci. Aku hanya sampai kepadamu setelah mengeluarkan peluh yang mana kalau peluh itu di minum oleh seribu ekor unta yang gemar makan tumbuhan masam nescaya semua unta tersebut akan beredar (kerana hilang hausnya sama sekali),¹
1 Riwayat Imam Ahmad (1/304). Al-Haithami menyebutnya dalam al-Mujma' (10/263) dan berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan pada sanadnya terdapat Duwaid yang tidak dikenali. Sekiranya dialah yang meriwayatkan daripada Abu Sufian, maka al-Ajali telah menyebutnya dalam buku berjudul Kitab at-Thiqaat. Sekiranya orang lain, maka aku tidak mengenalinya. Manakala perawi yang lain adalah perawi yang sahih kecuali Muslim bin Basyir di mana beliau perawi yang thiqah.

Ketahuilah bahawa berpisah dengan apa yang kamu sayangi adalah suatu yang amat pahit. Apabila kamu mencintai dunia kamu akan benci untuk bertemu dengan Allah. Ini menjadikan kamu mati dalam keadaan kamu bencikan kematian dan benci berpisah dengan apa yang kamu sayangi. Kesengsaraan yang ditanggung oleh setiap orang yang berpisah dengan apa yang dikasihinya bergantung kepada sejauh mana dalamnya cinta dan kemesraannya dengan apa yang dikasihinya itu. Justeru, hendaklah kamu menyintai 'sesiapa' yang tidak akan meninggalkan kamu iaitu Allah Taala dan jangan kamu mencintai dunia yang akan berpisah dengan kamu.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment