Tuesday, 30 November 2021

SIRI 191 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Keajaiban Makanan

Halaman Rujukan Kitab : 505

Nota Mudarasah:

Keajaiban Makanan dan Ubat-ubatan

Terdapat pelbagai jenis maknanan yang telah diciptakan oleh Allah bersama dengan keajaibannya yang tidak terkira. Ia terbahagi kepada makanan, ubat-ubatan, buah-buahan dan lain-lainnya. Kita akan memperkatakan sebahagian daripada makanan-makanan tersebut.

Apabila kamu mempunyai sedikit gandum kemudian kamu memakannya, nescaya kamu akan menghabisinya dan kamu akan tinggal selepas itu dalam kelaparan. Alangkah perlunya kamu pada ketika itu melakukan satu usaha yang membolehkan bijian gandum itu tumbuh dan mengeluarkan hasil berlipat kali ganda sehingga dapat memenuhi keperluan kamu. Usaha tersebut sudah tentulah dengan proses bercucuk tanam. Kamu hendaklah menanamnya di bumi yang ada air dan air itu pula hendaklah bersebati dengan tanah yang boleh membentuk tanah liat. Air dan tanah tidak memadai jika kamu meletakkan benih itu di tanah yang keras. Ia tidak akan tumbuh kerana tidak cukup udara. Ia hendaklah ditanam di tanah gambut yang mempunyai ruang-ruang udara. Udara pula tidak akan bergerak dengan sendirinya tetapi memerlukan angin yang menggerakkannya dan memacunya dengan kuat di atas muka bumi sehingga ia dapat menembusinya. Semua itu juga tidak memadai, kerana ia juga berhajat kepada kehangatan cuaca musim bunga dan musim panas, kerana jika ia ditanam pada cuaca yang terlalu sejuk, ia tidak akan tumbuh.

Kemudian lihatlah bagaimana Allah mencipta air yang diperlukan oleh tanaman ini. Allah mengalirkannya dari mata air atau sungai. Apabila ada sebahagian tanah tinggi yang tidak dapat menikmati aliran air tersebut, Allah mengirimkan kepadanya awan mendung dan ia bergerak ke seluruh pelusuk bumi melalui tiupan angin dengan izin Allah Taala. Awan mendung tersebut mengandungi air yang kemudiannya turun ke bumi sebagai hujan yang lebat mengikut keperluan.

Seterusnya, renungilah bagaimana Allah Taala mencipta bukit yang menakung air. Terpancar darinya mata air secara berperingkat. Seandainya ia mengeluarkan air sekaligus, nescaya sesebuah negara itu akan tenggelam, manakala tanaman dan benda-benda lain akan musnah.

Lihat pula bagaimana Allah mencipta matahari. Walaupun diletakkan jauh dari bumi, ia dapat memanaskan bumi pada sesetengah masa dan tidak pula pada sesetengah masa yang lain. Dengan itu, terhasillah cuaca panas dan sejuk mengikut keperluannya.

Seterusnya, lihatlah bagaimana Allah mencipta bulan sebagai pelembap, sebagaimana Dia menjadikan matahari sebagai pemanas. Bulan adalah faktor yang menentukan buah menjadi masak dengan kehendak-Nya yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Setiap bintang yang dicipta di langit mempunyai faedahnya tersendiri, sebagaimana terciptanya matahari dan bulan. Setiap darinya mempunyai hikmat tertentu yang tidak mampu dihitung oleh manusia sepertimana juga hikmat dari penciptaan matahari dan bulan.

Apabila semua makanan tidak dapat diperolehi di setiap tempat, Allah Taala permudahkannya melalui golongan peniaga. Allah jadikan mereka bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan harta sekalipun harta tersebut pada kebiasaannya tidak dapat memenuhi segala kemahuan mereka. Mungkin satu ketika harta mereka musnah bersama kapal yang tenggelam ataupun dirompak di pertengahan jalan, atau mereka menemui ajal di negara lain lalu hartanya menjadi milik pemerintah negara tersebut. Jika nasibnya baik harta tersebut akan diwarisi oleh pewaris mereka sedangkan boleh jadi pewaris mereka juga adalah musuhnya yang paling kuat sekiranya mereka tahu.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment