Wednesday, 1 December 2021

SIRI 192 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Kufur Nikmat Disebabkan Jahill Dan Lalai

Halaman Rujukan Kitab : 507

Nota Mudarasah:

Lihatlah bagaimana Allah memberikan mereka harapan dan juga kelalaian. Mereka sanggup bersusah payah mencari keuntungan dengan merentasi lautan, merempuh bahaya, membawa makanan makanan dan berbagai jenis keperluan dari timur mahupun barat kepada kamu.

Manusia yang tidak mensyukuri nikmat adalah disebabkan faktor kejahilan dan kelalaian. Dengan kejahilan dan kelalaian, mereka tidak dapat mengetahui nikmat-nikmat. Syukur terhadap nikmat akan terhasil setelah seseorang mengetahuinya. Jika mereka mengetahui nikmat pun, mereka menganggap bahawa syukur memadai dengan hanya menuturkan ucapan 'Alhamdulillah' atau 'syukur kepada Allah', sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa makna sebenar mensyukuri nikmat ialah menggunakan nikmat tersebut untuk tujuan asal penciptaannya iaitu taat kepada Allah.

Kelalaian terhadap nikmat Allah berpunca daripada beberapa sebab. Salah satu antara sebab tersebut ialah kejahilan.

Mereka tidak menganggap apa yang diperolehi dan dirasai oleh seluruh manusia sebagai satu nikmat dari Allah. Oleh sebab itu, mereka tidak bersyukur terhadap semua nikmat yang kita nyatakan sebelum ini kerana nikmat tersebut diberikan kepada semua manusia dalam semua keadaan.

Apabila seseorang itu melihat dia tidak mempunyai sifat yang istimewa berbanding orang lain, dia menganggap tiada nikmat pada dirinya. Kamu mungkin tidak pernah melihat orang yang bersyukur kepada Allah kerana udara yang dikurniakan walaupun mereka tahu sekiranya mereka tercekik dan tidak dapat bernyawa walaupun sekejap nescaya mereka akan mati. Bagitu juga sekiranya mereka dikurung dalam bilik sauna atau telaga, mereka akan mati kelemasan.

Jika mereka diuji dengan perkara-perkara sebegini kemudian dia terselamat, barulah mereka akan menganggapnya sebagai satu nikmat dan akan bersyukur dengannya. Ini adalah kemuncak kejahilan, kerana kesyukuran mereka itu bergantung kepada nikmat yang dicabut dari mereka dan kemudiannya dikembalikan semula kepada mereka. Sedangkan mereka patut mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepada mereka dalam semua keadaan. Kamu tidak dapati seorang yang celik akan bersyukur dengan penglihatannya, melainkan setelah menjadi buta dan kemudiannya dapat melihat semula. Dalam keadaan ini barulah dia menyedari bahawa matanya itu merupakan satu nikmat. Perumpamaannya sama seperti seorang hamba jahat yang sentiasa dipukul. Sekiranya dia tidak dipukul pada satu ketika, dia akan bersyukur dan akan menganggapnya satu nikmat. Namun begitu seandainya dia dari awalnya memang tidak dipukul, pasti dia akan lalai dari nikmat tersebut dan tidak akan bersyukur.

Oleh sebab itu, manusia hanya bersyukur setelah memperolehi sedikit sebanyak kelebihan yang khusus kepadanya sahaja dan mereka lupa semua nikmat yang Allah sedang dan telah berikan kepadanya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment