Friday, 3 December 2021

SIRI 194 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Bersyukurlah, Setiap Kita Adalah Manusia Istimewa

Halaman Rujukan Kitab : 509

Nota Mudarasah:

Ini menerangkan bahawa nikmat Allah ke atas hambanya iaitu seteguk air ketika dahaga adalah lebih besar nilaiannya dari dunia dan segala isinya. Kemampuan untuk mengeluarkan hadas (air kencing) juga adalah antara nikmat yang besar. Ini adalah petunjuk ringkas kepada nikmat-nikmat yang tertentu.

Apabila seseorang hamba meneliti dengan mendalam, dia akan melihat bahawa terlalu banyak nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya sama ada yang berbeza dari orang lain ataupun turut dimiliki oleh manusia lain.

Antaranya ialah nikmat akal. Setiap hamba reda kepada akalnya yang dicipta oleh Allah Taala. Dia merasakan seolah-olah dialah orang yang paling berakal. Jarang sekali dia meminta sesuatu kepada Allah berkaitan dengan akal. Sekiranya itulah pegangannya, dia wajib bersyukur kepada Allah Taala.

Antaranya juga ialah akhlak. Setiap orang yang melihat orang lain mempunyai akhlak buruk yang dibencinya sedangkan dia tidak mempunyai sifat-sifat tersebut, dia hendaklah bersyukur kepada Allah kerana mengelokkan akhlaknya dan menguji orang lain dengan sifat-sifat tersebut.

Antaranya juga ialah rahsia dalamannya dan perbuatan perbuatannya yang tertutup, di mana hanya dia sahaja yang tahu. Kalaulah Allah membuka rahsia tersebut kepada seseorang yang lain, pasti dia akan merasa malu. Apatah lagi sekiranya diketahui oleh seluruh manusia. Justeru, kenapa dia tidak mensyukuri Allah Taala di atas lindungan yang indah ini di mana Allah hanya menzahirkan kebaikannya dan menutup keburukannya.

Kita ambil contoh yang lebih umum. Kita berkata: Jika semua yang dimiliki oleh seseorang hamba sama ada tempat tinggal, negeri, sahabat, kaum keluarga, kedudukan atau semua perkara yang disukainya itu diambil daripadanya kemudian digantikan pula dengan hak kepunyaan orang lain, pasti dia tidak akan meredhainya.

Demikianlah bandingan nikmat Allah kepadanya; di mana Allah telah menjadikannya sebagai orang yang beriman bukan orang yang kufur, sebagai sejenis hidupan yang bernyawa bukan benda pejal dan kaku, sebagai manusia bukan binatang, lelaki bukan perempuan, sihat bukan sakit dan sempurna bukan cacat. Semua ini adalah keistimewaan yang dikurniakan kepadanya.

Sekiranya dia melihat bahawa tidak mungkin keadaan yang ada padanya ditukar dengan keadaan yang ada pada orang lain sepertimana dia tidak dapat menerima keadaan diri seseorang yang lain boleh menggantikan keadaan dirinya sendiri sama ada keseluruhan atau pada perkara-perkara tertentu, maka dia perlu menyedari bahawa terlalu banyak nikmat Allah kepadanya yang tidak dikurniakan kepada orang lain.

Sekiranya dia berfikir bahawa dia boleh bertukar keadaan dengan orang lain, dia hendaklah perhatikan jumlah mereka yang dia impi-impikan itu (yang dia ingin jadi seperti mereka itu). Sudah tentu dia akan dapati jumlahnya lebih sedikit berbanding golongan lain. Ketika itu dia akan tahu bahawa jumlah golongan yang terkebawah darinya lebih ramai berbanding golongan yang lebih atas darinya (yang menjadi impiannya itu). Oleh itu, kenapa dia hanya menumpukan perhatiannya kepada orang yang lebih atas tanpa melihat orang yang lebih bawah darinya?

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Riwayat al-Bukhari (11/276) dan Muslim (2963)

At-Tirmizi meriwayatkannya dengan lafaz yang lain:


Riwayat at-Tirmizi (2515) dan juga Muslim (2963)

Sesiapa yang mengambil iktibar dari dirinya sendiri dan merenung tentang kelebihan yang dimilikinya, dia akan dapati terlalu banyak nikmat Allah ke atasnya, terutamanya apabila dikurniakan kelebihan iman, al-Quran, ilmu, as-Sunnah, masa lapang, kesihatan, keamanan dan selainnya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment