Sunday, 5 December 2021

SIRI 196 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Berhimpunnya Sifat Sabar Dan Syukur Dalam Satu Perkara

Halaman Rujukan Kitab : 513

Nota Mudarasah:

Kamu mungkin akan mempersoal dengan berkata: Sebelum ini kamu telah menyebut bahawa Allah Taala telah mengurniakan nikmat kepada setiap makhluk. Ini menunjukkan bahawa bala pada asalnya tidak wujud. Jika begitu apa erti kesabaran?. Seandainya bala itu wujud, apa gunanya kita bersyukur?. Bagaimana sifat sabar dan syukur boleh berhimpun dalam sesuatu perkara?. Sabar dari perkara yang menyakitkan, manakala syukur terhadap sesuatu yang menggembirakan. Ia adalah dua keadaan yang berlawanan.

Perlu diketahui bahawa bala dan nikmat sememangnya wujud tetapi tidak semua bala itu, kita diperintahkan supaya bersabar menghadapinya. Contohnya kufur. Ia merupakan satu bala tetapi tiada makna jika kita bersabar terhadapnya. Demikian juga maksiat. Bagi orang kafir, mereka tidak mengetahui bahawa kekufuran mereka adalah satu bala dari Allah Taala. Keadaan ini sama seperti seorang yang sakit yang tidak akan merasai sakit seandainya dia pengsan. Orang yang membuat maksiat hendaklah mengetahui maksiat yang dilakukannya dan dia hendaklah meninggalkan maksiat tersebut.

Manusia tidak diperintahkan bersabar terhadap setiap bala yang mampu ditolaknya. Jika dia dahaga tetapi tidak mahu minum sehingga menjadi sakit, dia tidak diperintah bersabar dalam perkara ini sebaliknya disuruh supaya menghilangkan sakit (dahaga) tersebut. Sabar berlaku terhadap sesuatu bala yang tidak mampu ditangani oleh manusia. Oleh sebab itu, sabar bukanlah kepada perkara yang dianggap bala secara mutlak kerana mungkin juga ia suatu nikmat dari sudut yang lain. Dalam keadaan inilah, fungsi sabar dan syukur boleh berhimpun pada suatu masa. Contohnya: Nikmat kekayaan yang dimiliki oleh seseorang mungkin pada masa-masa tertentu ia akan membinasakan dirinya kerans (harta tersebut) boleh menyebabkan dia dibunuh. Demikian jugs nikmat kesihatan. Kadang-kadang kesihatannya boleh mengundang bencana terhadap dirinya. Semua nikmat duniawi boleh bertukar menjadi bala dalam aspek yang lain.

Boleh jadi suatu bala yang menimpa seseorang sebenarnya adalah nikmat kepadanya. Contohnya ajal yang tidak diketahui oleh sesiapapun. Ini sebenarnya adalah satu nikmat kerana jika manusia mengetahuinya, hidupnya akan terbantut dan dia akan sentiasa gelisah dan bersedih. Antaranya juga, seseorang yang tidak mengetahui apa yang ingin dilakukan oleh orang lain terhadapnya kerana jika dia mengetahui pasti dia akan merasa sakit, benci, dengki serta bersiap sedia untuk membalas dendam. Antaranya juga ialah seseorang yang tidak mengetahui sifat-sifat buruk orang lain, kerana jika dia mengetahuinya dia akan berasa marah dan mungkin akan menyakitinya. Mengetahui perkara-perkara tersebut akan membawa padah kepaada dirinya sendiri.

Antara nikmat juga ialah manusia tidak mengetahui bila berlakunya hari kiamat, malam al-Qadr dan waktu mustajab doa pada hari Jumaat Rujuk Zadul Ma'ad (1/388). Kesemua ini akan merangsangkan seseorang untuk mendapatkannya dengan bersungguh-sungguh. Ini adalah gambaran nikmat Allah dalam perkara-perkara yang tidak diketahui oleh manusia. Bagaimana pula dalam perkara yang manusia tahu?

Tadi kita telah nyatakan bahawa pada setiap perkara yang wujud terdapat nikmat dari Allah sehinggakan sakit juga kadang-kadang merupakan nikmat kepada pesakit dan kadang-kadang menjadi nikmat kepada orang lain. Begitu juga penderitaan orang kafir di dalam neraka. Ia merupakan nikmat kepada penghuni syurga, kerana sekiranya mereka tidak diseksa, orang lain yang mendapat nikmat syurga tidak akan menyedari kenikmatan yang mereka perolehi di dalam syurga. Dengan demikian, kegembiraan akan berganda jika diceritakan penderitaan ahli neraka kepada mereka.

Tidakkah kamu melihat manusia tidak pernah merasa gembira terhadap nikmat matahari yang dikurniakan kepadanya? Sedangkan nikmat tersebut amat diperlukannya. Semuanya kerana matahari adalah nikmat umum yang diberikan kepada semua. Mereka juga tidak melihat pada bintang yang merupakan perhiasan langit, sedangkan ia lebih indah dari semua tumbuh-tumbuhan. Inipun kerana nikmat bintang itu juga adalah menyeluruh kepada semua manusia. Oleh sebab itu mereka tidak merasainya dan tidak bergembira dengannya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment